600 pembantu warden asrama sekolah bakal dilantik melalui MySTEP
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

28 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Seramai 600 pembantu warden asrama sepenuh masa akan dilantik menerusi program Malaysia Short-Term Employment Program (MySTEP) sebagai salah satu inisiatif baharu memantapkan sistem warden asrama sekolah di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia juga bertujuan untuk meningkatkan pemantauan keselamatan asrama sekali gus mengurangkan beban tugas warden asrama sedia ada.
Selain itu, katanya, guru yang dilantik sebagai warden asrama diberi beberapa pengecualian termasuk penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang diminimumkan bagi meringankan beban tanggungjawab mereka dalam sesi persekolahan.
“Warden turut dikecualikan daripada dilantik sebagai guru kelas dan tidak perlu mengajar pada waktu pertama dalam sesi pembelajaran.
“Guru-guru warden dan guru-guru disiplin akan didedahkan dengan latihan yang secukupnya dari segi bimbingan dan kaunseling,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung mekanisme Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan guru yang dilantik sebagai warden di asrama tidak terbeban dengan tanggungjawab.
Mengulas lanjut, Wong berkata kementerian juga telah memperluaskan pelantikan warden asrama kepada semua kakitangan bukan guru gred 1 dan ke atas bagi sekolah-sekolah di bawah KPM pada tahun 2019.
Dengan peluasan ini, katanya, pentadbir sekolah boleh melantik warden asrama dalam kalangan bukan guru.


















Comments