- Wartawan Nabalu News
Kerajaan belum putuskan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi - Khairy
29 Nov 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memutuskan sama ada untuk menetapkan dos penggalak Covid-19 sebagai syarat bagi seseorang individu itu telah lengkap vaksin, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) masih membuat kajian berdasarkan pengalaman negara lain yang telah menjadikan suntikan penggalak sebagai syarat dianggap lengkap vaksin sepenuhnya.
“Pakar-pakar juga sedang mengkaji keberkesanan suntikan dos penggalak dan mereka akan membuat cadangan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B).
“Jika didapati kes harian, kemasukan ke hospital dan kes kematian meningkat disebabkan keengganan orang untuk terima dos penggalak, dan sudah menjadi norma antarabangsa untuk mereka mensyaratkan bahawa vaksinasi lengkap itu penerima series primer, dan juga dos penggalak, maka kita juga akan membuat keputusan yang sama,” katanya semasa siaran langsung bersama Agenda Awani bertajuk ‘Dos Penggalak Sebagai Perisai’.
Tambah beliau lagi, negara mungkin akan berhadapan gelombang baharu kematian sekiranya liputan dos penggalak rendah.
“Kalau liputan dos penggalak tidak tinggi macam liputan dos pertama dan dos kedua pastinya kes harian, bilangan kemasukan ke hospital dan kematian akan meningkat,” jelas Khairy.
Setakat ini, KKM menerusi laman COVIDNOW melaporkan sebanyak 2, 059, 277 dos penggalak telah diberikan kepada kumpulan sasar manakala 95.9 peratus individu populasi dewasa dalam negara telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.
Comments