Kerajaan benarkan pengeluaran khas KWSP RM10,000
16 Mac 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan akhirnya bersetuju untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.
"Justeru itu, pada hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya menerus pengumuman yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, hari ini.
Ismail berkata, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.
"Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan," katanya.
Comentarios