Kerajaan bersedia isytihar darurat jika cuaca panas melampau
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan bersedia isytihar darurat jika cuaca panas melampau


16 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengaktifkan Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan darurat jika suhu negara mencapai tahap yang melampau akibat cuaca panas.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata, Kerajaan kini sedang memantau keadaan cuaca, namun belum ada pelaksanaan darurat diputuskan.


“Kita sedang pantau (cuaca) 24 jam. Kalau darurat (dilaksanakan), kita akan buat pengumuman. Belum lagi (laksana darurat), tetapi kita sudah sedia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.


Beliau berkata, kerajaan juga telah menjalankan pembenihan awan di tujuh kawasan empangan air yang mengalami penurunan paras air untuk mengelakkan masalah bekalan air kepada penduduk berhampiran.


Kawasan-kawasan itu ialah Sungai Muda dan Sungai Kedah di Kedah; Sungai Melaka di Melaka; Sungai Kelantan di Kelantan; Sungai Klang di Selangor; Sungai Bernam di sempadan Perak-Selangor; dan Sungai Similajau di Sarawak.


“Petang ini, saya pergi buat tinjauan. Kalau tidak ada hujan, kita buat serta merta,” katanya.


Beliau berkata, operasi pembenihan awan itu melibatkan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia.


Pada 10 Mei, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi empat kawasan di Semenanjung, iaitu Baling di Kedah, serta Hulu Perak, Kinta dan Manjung di Perak.


Amaran itu turut merangkumi Mukah di Sarawak, menurut kemas kini data cuaca panas dimuat naik di Facebook MetMalaysia.


Amaran cuaca panas tahap satu dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencapai 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page