Kerajaan berusaha tingkat pemberian vaksin sehari: Masidi
nabalunews

1 Ogos 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertingkatkan keupayaan sehingga melepasi 50,000 dos vaksin sehari bagi mempercepatkan capaian imuniti kelompok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi 43,792 dos vaksin di seluruh negeri, kelmarin.
“Setiap hari kita berusaha meningkatkan kapasiti JKNS memberi vaksin kepada orang ramai.
“Kita akan pertingkatkan lagi keupayaan ini sehingga melepasi 50,000 dos sehari. Kapasiti imunisasi yang maksimum serta bekalan vaksin yang tidak terputus akan membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat,” katanya daam kenyataan media, hari ini.
Mengenai statistik vaksinasi di Sabah Masidi berkata, tiada suntikan baharu dibuat bagi Fasa 1 Dos 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kekal sebanyak 67,164 orang.
“Bagi Fasa 1 Dos 2 pula, tiada suntikan baharu dibuat hari ini menjadikan jumlah kumulatif kekal sebanyak 58,575 orang.
“Manakala, bagi Fasa 2 Dos 1 PICK, 44,639 suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 797,180 orang.
“Bagi Dos 2 Fasa 2 pula, 3,661 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 337,338 orang,” katanya.
Beliau berkata, pendaftaran penerima vaksin pada hari ini ialah 19,014 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar sebanyak 1,182,703 (Mysejahtera 1,098,339: Laman Web 84,097: Talian Vaksinasi 267) bersamaan 42.9 peratus.
Comments