Kerajaan cadang beri pengiktirafan SKM setaraf dengan SPM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan cadang beri pengiktirafan SKM setaraf dengan SPM


28 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bakal setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya cadangan kerajaan untuk mengiktiraf sijil tersebut diluluskan oleh Jemaah Menteri.


Ini adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini mempunyai peluang pekerjaan yang luas di dalam dan luar negara.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kertas dasar mengenai cadangan itu akan dibentangkan dalam tempoh dua minggu akan datang.


Beliau berkata sekiranya cadangan itu diterima, lepasan TVET yang memiliki SKM akan dapat memohon jawatan di sektor kerajaan atau swasta tanpa perlu mengambil SPM.


"Mereka akan dapat masuk ke pasaran sama ada swasta atau kerajaan berdasarkan sijil-sijil (SKM) yang akan dikeluarkan itu," katanya.


Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kerajaan juga merancang beberapa lagi perubahan dasar dalam memastikan sektor TVET terus berkembang di negara ini.


Beliau berkata kerajaan tidak lagi berfikir secara silo tetapi melakukan koordinasi sebaik-baiknya dengan 12 kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya tidak ada yang tertinggal dalam merebut peluang pekerjaan ini.


Jelas beliau, pemerkasaan TVET adalah bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan merapatkan jurang pengangguran di negara ini.


"Telah tiba masanya untuk gunakan tenaga tempatan, berikan latihan sewajarnya mengikut kehendak pasaran yang ada dan minat peserta itu," katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page