Kerajaan digesa campur tangan dalam peningkatan harga bahan binaan Kerajaan digesa campur tangan dalam peningkatan harga bahan binaan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan digesa campur tangan dalam peningkatan harga bahan binaan


13 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu terus memantau aktiviti dan pencatutan dan anti persaingan dalam rantaian bekalan bahan binaan, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).


Redha termasuk enam pemain industri yang lain dalam satu kenyataan hari ini berkata, kenaikan harga bahan binaan secara mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah memberi kesan kepada kos menjalankan perniagaan, mengakibatkan kos pembinaan melonjak naik antara 13 hingga 20 peratus.


Menurut kenyataan itu, sejak Oktober 2020 harga keluli telah meningkat sehingga 40 peratus dan pasir pula mengalami kenaikan sebanyak 20 peratus dan ini memberi tekanan kepada margin keuntungan syarikat yang sudah pun semakin berkurangan.


Mereka turut mencadangkan agar kerajaan mempercepatkan kemasukan pekerja asing ke dalam negeri ini untuk mengatasi masalah kekurangan semasa.


“Berdasarkan pemerhatian, antara faktor utama yang mempengaruhi kenaikan harga adalah disebabkan oleh lonjakan kos bahan mentah, kekurangan pekerja asing, kenaikan kos logistik, peningkatan harga minyak mentah dan kos tenaga.


“Kerajaan perlu memberi perhatian segera kerana keadaan ini akan menjejaskan sektor hartanah serta pembinaan, selain daripada memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata mereka.


Dalam pada itu, mereka juga mencadangkan agar kerajaan melanjutkan klausa Variasi Harga (VOP) yang melibatkan projek kerajaan sekurang-kurangnya 12 bulan lagi kerana dijangkakan harga akan kekal tidak menentu melangkaui 31 Dis 2021.


"Untuk projek swasta, kerajaan harus menggalakkan pemilik projek memperkenalkan VOP dalam kontrak mereka," kata kenyataan itu.


Jika dibiarkan tanpa pengawasan, keadaan sekarang boleh membawa kepada kerugian projek dan menjejaskan aliran tunai.


"Pemaju mungkin tidak mempunyai pilihan selain melepaskan kos tambahan kepada pembeli rumah manakala kontraktor yang tidak dapat menyerap lebihan kos ini terpaksa menghentikan kerja mereka," tambahnya.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Redha, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Persatuan Kontraktor Bumiputera Wibawa, Persatuan Kontraktor Bersatu Malaysia dan Persatuan Kontraktor India Malaysia.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page