top of page

Kerajaan dijangka meningkatkan peruntukan subsidi minyak tahun depan

Wartawan Nabalu News

11 Okt 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan dijangka akan menambah peruntukan subsidi minyak tahun depan kerana harga minyak global yang meningkat dan menyebabkan subsidi produk petroleum menjadi lebih tinggi.


Beliau berkata perbelanjaan subsidi negara boleh meningkat lebih tinggi pada masa hadapan di tengah-tengah kenaikan harga tenaga global terutamanya sekiranya kerajaan tidak dapat meminimumkan jurang diesel bersubsidi dan yang tidak bersubsidi.


“Harga minyak mentah mencecah AS$80 setong bulan lepas dan para penganalisis menaikkan unjuran minyak mereka bagi 2024 kepada AS$100 setong.


"Amaun yang kita bayar sekarang sebenarnya adalah kecil berbanding jumlah yang perlu kita bayar pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor Ke-28 “Raising the tide, lifting all boats” oleh Bank Dunia.


Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan bagi subsidi menyeluruh yang mana ia tidak lagi mampan dan menjejaskan mereka yang sepatutnya mendapat perlindungan dan bantuan yang lebih baik.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan subsidi berjumlah RM55.443 bilion pada 2022, peningkatan 322.1 peratus atau RM42.309 bilion daripada RM13.134 bilion pada 2021.


Tambah beliau, subsidi bagi produk petroleum merekodkan peruntukan tertinggi sebanyak RM45.184 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan.


Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan pantas untuk mengelakkan bil subsidi yang melonjak tinggi dengan jangkaan harga minyak lebih tinggi tahun depan.


“Jangkaan (harga) minyak yang lebih tinggi bermakna kita perlu bertindak pantas kerana walaupun pada (purata) AS$80 setong, kita menyasarkan perbelanjaan subsidi sekitar RM50 bilion. Jadi, jika ia meningkat kepada AS$100 setong, bil subsidi akan meningkat (malahan) lebih tinggi. Dan (selagi) ada subsidi menyeluruh, ia akan menjejaskan penggunaan,” katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page