Kerajaan diminta percepat pelaksanaan Pelan Transformasi Negara – PM Anwar
5 DIsember 2024
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan serta agensi yang terlibat perlu bertindak dengan lebih pantas untuk merealisasikan pelan transformasi yang telah dirangka.
Beliau mengingatkan bahawa kelewatan dalam melaksanakan inisiatif penting boleh menjejaskan visi transformasi negara.
"Kadang-kadang kerja lambat itu, bagi saya bagaimana kita hendak tingkatkan transisi tenaga, transformasi digital, AI (kecerdasan buatan), sedangkan perkara asas dibina dalam negara tidak dapat disiapkan," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini, lapor Berita RTM.
Menurut Perdana Menteri, antara teras kepada Kepengerusian ASEAN tahun depan adalah Grid Tenaga ASEAN, Rangkaian Digital, dan Teknologi Makanan, yang memerlukan komitmen serta pelaksanaan pantas oleh semua pihak terlibat.
Beliau turut merujuk hasil Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Negara dan Revolusi Perindustrian Ke-4 semalam, yang membincangkan kelewatan pelaksanaan MyDigital dan isu rundingan antara Digital Nasional Berhad (DNB) dengan syarikat telekomunikasi.
"Ada beberapa masalah rumit berbangkit, saya kurang sabar dalam dua tahun ini, saya rasa kemarahan agak keras sikit. Jadi, saya minta maaf... Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ada, Gabenor Bank Negara ada... kerana kadang-kadang harapan kita tinggi.
"Saya hilang kesabaran, marah ada batas. Semalam, saya agak terlanjur kemarahan, saya minta maaf kepada yang hadir. Saya juga ada kekurangan, harapan tinggi dan harapan menggunung, kadang-kadang tidak kesampaian,” tambah beliau.
Comentários