top of page

KERAJAAN DIMINTA PERCEPATKAN PROJEK TEBATAN BANJIR

  • Wartawan Nabalu News
  • Jan 18, 2021
  • 1 min read

ree

18 Jan 2021

OLEH SYABIL SYAFI


PENAMPANG : Kerajaan diminta untuk mempercepatkan usaha bagi menangani masalah banjir yang sering berlaku di daerah ini.


Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Moyog John Chryso Masabal berkata, masalah banjir ini dapat diatasi sekiranya projek tebatan banjir dapat disiapkan dengan kadar segera di daerah ini.


“Taburan air hujan di negeri ini dilihat tidak menentu dan sekaligus mengakibatkan masalah banjir yang semakin kerap berlaku di daerah ini.


“Justeru itu, pihak kerajaan perlu mempercepatkan pelan tebatan banjir khususnya di Penampang kerana hal ini menjadi kebimbangan kepada masyarakat setempat setiap kali musim hujan,”katanya.


John berkata, hujan yang berlaku sejak beberapa hari lalu itu turut mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air selain banyak barangan penduduk turut mengalami kerosakan.


Katanya, masalah banjir itu juga menyebabkan aktiviti harian penduduk terjejas malah sektor perniagaan turut menerima impak besar kerana terpaksa menutup operasi perniagaan.


“Sektor perniagaan di daerah ini seperti pasar awam dan kedai-kedai di Pekan Donggongon turut terjejas setiap kali musim hujan.


“Para peniaga bukan saja terpaksa menghentikan perniagaan mereka tetapi menanggung kerosakan premis dan barangan perniagaan,”katanya.


Sementara itu, John berkata, daerah ini sering berdepan dengan masalah banjir, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan semakin teruk.


“Walaupun hujan tidak lebat, namun terdapat beberapa tempat tetap dinaiki air seperti di kawasan -kawasan rendah di daerah ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page