KERAJAAN GRS MASIH TIDUR? ADUN KAPAYAN
- nabalunews
- Jan 7, 2021
- 2 min read

7 JAN 2021
PENAMPANG: Pelaksanaan projek membina bumbung di Pekan Donggongon yang terhenti sejak empat bulan lalu mendatangkan kesukaran kepada peniaga di sekitar pekan ini.
Beberapa peniaga mula mengadu masalah yang mereka terpaksa hadapi disebabkan pelaksanaan projek itu tertangguh sejak pertukaran kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, peniaga dan pengunjung di Pekan Donggongon mula mengadu tentang kesukaran yang mereka lalui disebabkan kelewatan penyiapan projek tersebut.
Beliau berkata, apabila aduan itu disampaikan, Pegawai Daerah Penampang, Hendry Idol memberitahu bahawa tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengenai punca projek itu dihentikan.
“Maka, saya berharap, kementerian akan menyelesaikan sebarang isu berkaitan dengan perundangan dan memberi kebenaran kepada Majlis Daerah Penampang meneruskan projek tersebut.
“Sekatan yang dikenakan akibat pandemik Covid-19 juga dilihat sebagai punca kenapa projek itu dihentikan. Oleh itu, saya meminta kementerian tersebut membuat keputusan mengenai projek itu secepat mungkin.
“Jika terus ditanggguhkan, Majlis Daerah seharusnya membuka semula penghadang yang diletakkan di tengah-tengah pekan itu bagi membolehkan orang ramai melalui kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Jannie turut menerima penghargaan daripada penjaja di Tamu Sangadau atas usaha memasang lampur solar di tapak tamu berkenaan.
Ketika ini, beliau juga dalam proses mahu melaksanakan projek pengasingan sisa buangan organik di tapak tamu tersebut.
Dalam pada itu, Jannie akan mengadakan tinjauan mesra di kawasan DUN Kapayan bagi mengagihkan kalender roket DAP 2021.
Pasukannya dari Pejabat Perhubungan ADUN Kapayan telah mengagihkan kalender roket itu di Pekan Donggongon pada 5 Jan dan di kawasan komersil Beverly Hills semalam.
“Saya turut mengambil kesempatan yang ada ini untuk bertemu dengan orang ramai bagi mendengar permasalahan mereka.
“Pasukan saya turut mengagihkan 300 botol jem kaya di kawasan Beverly Hills semalam.
“Saya sangat gembira dengan sokongan yang diberikan oleh orang ramai dan saya akan terus berkhidmat kepada rakyat sebaik mungkin biarpun sekarang peruntukan yang ada telah dikurangkan kerana kami berada di blok pembangkang,” katanya.
Jannie turut melahirkan penghargaan terhadap produk tempatan jenama Ancour atas sumbangan 10,000 botol jem kaya yang diberikan untuk penduduk DUN Kapayan.
Tambahnya, dalam berdepan pandemik Covid-19, rakyat di negeri ini harus terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan penularan wabak Covid-19.
Program agihan kalender dan jem kaya ini akan diteruskan dalam beberapa hari ini di kawasan Penampang Baru, Taman Suria-Bundusan, Towering-Millenium, Cybercity-Kepayan Perdana dan Kepayan Square.
Selain itu, ia akan diadakan di beberapa kawasan kediaman seperti di Hungab, Koidupan, Kobusak, Tunoh, Nagasiba, Nosoob Baru, Mogoputi, Peringatan, Ganang, Sodomon, Kapazan, Baru Luyang serta Damai. – Sabah Today


















Comments