top of page

Kerajaan komited banteras budaya “Ali Baba” - Anwar

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 11, 2023
  • 2 min read

11 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk membanteras budaya Ali Baba (rent-seeking) yang memberi dampak negatif kepada ekonomi dan meneroka sumber tenaga baharu sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau.


Ini antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Julai.


Anwar dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat bersetuju secara prinsip bahawa aktiviti rent-seeking melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran, telah menyebabkan kerugian anggaran sekitar 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


"Oleh yang demikian, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian dan Agensi Kerajaan, akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri," katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa mesyuarat juga mempercepat inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative).


"Projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu Kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran, serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut," katanya.


Beliau berkata Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi manakala Fasa Kedua akan menyusul pada Ogos 2023.


"Melangkah ke hadapan, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara, bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara," katanya.


Tambah beliau, kerajaan juga sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page