Kerajaan komited bantu pekebun kecil getah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan komited bantu pekebun kecil getah


28 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa berusaha untuk memberi sokongan kepada pekebun kecil yang terlibat dalam industri getah, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam satu kenyataan.


Menurut KPK, harga getah dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran di peringkat global.


“Selain itu, faktor-faktor lain yang memainkan peranan dalam menentukan harga getah asli termasuklah prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeluar dan pengimport getah utama dunia,” katanya.


KPK merujuk kepada laporan akhbar yang bertajuk “Tiada lagi hasil getah Malaysia?” yang mengulas tentang harga getah yang rendah dan tidak stabil.


Katanya KPK telah melancarkan pelbagai inisiatif seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG), menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG kepada RM2.70 daripada RM2.50 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta dan memperkenalkan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) untuk membantu sektor ini.


“Pekebun kecil getah yang menyertai program IPL akan mendapat bantuan berupa input pertanian seperti baja dan racun bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off),” katanya.


KPK juga berkata bahawa agensi di bawahnya, Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah memperbaiki proses pembayaran untuk memudahkan penyaluran bantuan seperti IPG dan IPL.


Dalam mengatasi masalah kekurangan buruh asing dan menarik minat generasi muda, katanya LGM telah mempromosikan konsep pembangunan getah secara berkelompok.


"Kerjasama strategik antara kerajaan dan entiti bukan kerajaan atau syarikat swasta telah diperkenalkan melalui penambahbaikan model dan struktur operasi pekebun kecil dan rangkaian bekalan getah di peringkat huluan.


“Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan juga dapat menarik minat generasi muda untuk berkecimpung dalam industri getah,” katanya.


Bagi meningkatkan penggunaan getah asli di Malaysia, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan RM50 juta untuk penggunaan Cuplump Modified Bitumin (CMB) untuk penyelenggaraan jalan dalam Belanjawan 2023, antara teknologi yang dibangunkan oleh LGM.


"Kementerian mengalu-alukan cadangan dan saranan daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah untuk meningkatkan industri getah negara.


"Sebagai makluman, pendekatan semua agensi berkepentingan mahupun industri untuk duduk bersama adalah satu pendekatan yang diamalkan oleh KPK.


“Kerajaan sentiasa komited dalam merangka dasar dan strategi untuk meningkatkan daya saing dan daya maju industri getah negara,” katanya.



bottom of page