top of page

Kerajaan laksana pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya

  • nabalunews
  • Sep 11, 2025
  • 2 min read

11 September 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan pengasingan penuh peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.


Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah membentangkan model-model pengasingan kepada Jemaah Menteri.


“Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Keputusan ini diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan Azalina,” menurut BHEUU JPM dalam kenyataan pada Rabu.


Jelasnya, bagi tujuan pengasingan itu, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.


Selain itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) turut akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta lain yang berkaitan.


Pada masa sama, sebuah akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).


Menurut BHEUU JPM, Jemaah Menteri turut bersetuju pelaksanaannya akan dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.


“Pasukan Petugas Khas Teknikal diterajui BHEUU JPM bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan.


“Syor lengkap hasil perincian ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada,” katanya.


BHEUU JPM berkata, langkah ini merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan MADANI, bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page