top of page
nabalunews

Kerajaan MADANI Komited Pastikan Rakyat Nikmati Internet Berkelajuan Tinggi 5G - Fahmi

17 September 2024


KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited dalam usaha memastikan setiap rakyat Malaysia dapat menikmati akses internet berkelajuan tinggi melalui teknologi 5G.


Menurut beliau, setakat ini sebanyak 7,191 tapak 5G telah berjaya dibangunkan di seluruh negara, dengan 564 tapak di Sabah dan 551 di Sarawak.


Tambahnya lagi, liputan 5G kini telah mencapai tahap 81.9% di kawasan berpenduduk, menunjukkan kemajuan yang signifikan dalam pelaksanaan rangkaian ini.


"Liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sabah adalah 68.9 peratus manakala di Sarawak pula 62.5 peratus… saya amat gembira dengan pembangunan telekomunikasi di negara ini untuk kepentingan rakyat kita," katanya dalam video ucapan pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka di sini semalam.


Fahmi turut menyatakan bahawa kerajaan akan terus mempergiatkan usaha untuk memperluas liputan 5G agar lebih ramai rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar, dapat menikmati manfaat daripada teknologi ini.


Ini adalah selaras dengan visi kerajaan untuk meningkatkan kemudahan digital dan memperkasakan ekonomi negara melalui transformasi digital yang inklusif.


Beliau menekankan bahawa kerajaan tidak hanya fokus kepada pembangunan infrastruktur 5G, tetapi juga berusaha memastikan rakyat memahami dan dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi ini dalam kehidupan harian mereka.


Sambutan Hari Malaysia itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.


Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.


Fahmi, yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024, berkata beliau menghargai sokongan dan komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak yang menjayakan sambutan Hari Malaysia terutama Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah.


"Marilah kita bersama-sama menjiwai semangat cinta akan negara dengan memperkukuh jati diri masing-masing sebagai dukungan ke arah Malaysia yang lebih hebat," katanya.

Comments


bottom of page