top of page

Kerajaan Madani Komited Perkukuh Pembangunan Sabah dan Sarawak

  • nabalunews
  • Dec 27, 2025
  • 2 min read

27 Disember 2025


KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, menegaskan Kerajaan Madani komited dalam memperkukuh agenda pembangunan di Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan masa depan negara.


Menurutnya, komitmen itu dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kedua-dua wilayah menerima pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan Pusat.


“Bagi Sarawak, Kerajaan Madani kekal komited memacu pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di negeri itu melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga, pembangunan infrastruktur dan pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi.


“Pada masa yang sama, Sabah turut diberi keutamaan menerusi usaha mempercepat projek pembangunan asas, meningkatkan kemudahan awam, dan merangsang pertumbuhan ekonomi Wilayah secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Mustapha berkata, ia termasuk penekanan berterusan kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), isu pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas.


Katanya, hal itu membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak terus dipelihara secara adil dan berprinsip.


“Manfaat pembangunan ini mesti sampai terus kepada rakyat, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.


Sehubungan itu, Mustapha turut mengalu-alukan langkah Kerajaan dalam memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi.


Katanya, inisiatif perumahan rakyat, termasuk Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan skim pembiayaan inovatif untuk golongan belia, mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang holistik dan berteraskan kesejahteraan rakyat.


“Usaha berterusan ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana Wilayah mahupun Negeri, sebaliknya memastikan Sarawak dan Sabah terus menjadi rakan strategik penting dalam membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu.


“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak dan Sabah, agar terus mendokong kepimpinan YAB Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembangunan Negara berlandaskan prinsip MADANI, sejajar dengan aspirasi ‘Segulai Sejalai’ dan ‘Sabah Maju Jaya’,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page