top of page

Kerajaan MADANI tegas pastikan kepentingan semua kaum terjamin

  • nabalunews
  • 15 minutes ago
  • 2 min read

17 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya kadangkala perlu mengambil pendekatan yang agak tegas dalam usaha melindungi kepentingan masyarakat berbilang kaum di negara ini.


Anwar berkata, langkah itu penting kerana tiada negara yang boleh berjaya jika rakyatnya bergaduh antara satu sama lain dan tiada semangat bertolak ansur untuk mengangkat semua kaum dan agama di semua lapangan.


Beliau berkata, hasil kerjasama rakyat berbilang kaum di negara ini selama ini telah membuahkan hasil dengan data ekonomi menunjukkan Malaysia berjaya mencatat hasil kemajuan yang jauh lebih membanggakan.


"Semuanya ini sebab kita negara aman, kita ada semangat muafakat bersama dan ketiga, kita bekerja bersama-sama untuk angkat martabat Malaysia.


"Tetapi, sekiranya anda ingin berjaya, kita perlu terima bahawa terdapat masalah, terdapat perbezaan, namun kita perlu bekerjasama menyelesaikannya sebagai masyarakat yang hebat, keluarga Malaysia yang bersatu," kata beliau dalam ucapan ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara, hari ini.


Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh; dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.


Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri berkata, isu perpaduan bukanlah sesuatu perkara yang baharu di dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.


"Cabaran utama sudah tentu perpaduan negara dalam menentang perpecahan kaum, menolak perkauman. Perkara ini bukan baharu, sebab itu saya beritahu (dari dahulu lagi) untuk kita bekerjasama, saya daripada ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) kita kumpul, bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Cina untuk perjuang hak rakyat dan bina semangat perpaduan antara kaum," kata beliau.


Beliau turut menyatakan contoh cabaran dihadapi Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang menyatakan bahawa masalah negara pada ketika itu adalah dalam menangani isu 3C, iaitu cabaran komunis, komunalisme dan rasuah.


Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Anwar berharap perayaan Tahun Baharu Cina ini dimanfaatkan untuk seluruh rakyat dalam mengukuhkan hubungan perpaduan antara satu sama lain, dengan mengetepikan isu-isu yang tidak memberikan kebaikan. -BERNAMA

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page