top of page

Kerajaan Negeri akan terus sokong keperluan polis

  • nabalunews
  • 6 days ago
  • 2 min read

25 Mac 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus menyokong keperluan anggota polis yang merupakan rakan strategik utama dalam aspek keselamatan dan pembangunan negeri.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keselamatan negeri adalah asas kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan

rakyat dan keyakinan pelabur.


Katanya, dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), keselamatan adalah pemudah cara utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta teras kepada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Malah, tanpa kestabilan sudah tentu ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan pembangunan SMJ 2.0,” katanya pada majlis perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan dekat sini hari ini.


Selain itu, Hajiji turut memuji inisiatif menjadikan sebuah bangunan lama di kawasan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sabah sebagai Galeri Polis Negeri Sabah.


“Ia bukan sekadar tempat untuk pameran semata-mata, tetapi ia adalah arkib hidup yang mengabadikan sejarah, jerih perih, dan komitmen PDRM di Sabah.

“Galeri ini juga adalah saksi perjuangan, pengorbanan, dan dedikasi warga polis dalam mengekalkan keamanan negara.


Ia merupakan sebuah wadah bagi menzahirkan penghargaan atas pengorbanan, jasa dan bakti yang tidak terbalas daripada seluruh warga PDRM, baik yang masih berkhidmat mahu pun sudah bersara,” katanya.


Antaranya pameran utama di galeri tersebut adalah insiden Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013, yang terus menjadi ingatan dan lipatan sejarah kepada rakyat di negeri ini.

“Justeru, saya menyifatkan kewujudan galeri ini amat signifikan dan bertepatan pada masanya sebagai wadah untuk memastikan pengorbanan wira-wira negara terus terpahat dalam ingatan, kerana jasa mereka merupakan benteng utama kedaulatan negara,” katanya.


Di samping itu, galeri ini akan menjadi pusat pendidikan iaitu sebagai medium rujukan sejarah untuk generasi muda agar mereka menghargai nilai keamanan yang dinikmati hari ini, katanya.


“Ia mendidik generasi muda dan mengingatkan kita semua akan erti keselamatan, keamanan serta disiplin tinggi yang dipegang teguh oleh pasukan polis,” katanya.


Sempena Hari Memperingati Polis Ke-219, Ketua Menteri meminta seluruh anggota PDRM untuk terus meningkatkan semangat serta iltizam untuk berkhidmat dengan penuh komited demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.


“Bagi mengekalkan tahap integriti dalam perkhidmatan, saya berharap semua anggota polis akan terus berkhidmat dengan disiplin dan integriti yang tinggi.


“Jadikan paparan di galeri ini sebagai pembakar semangat untuk terus memelihara maruah pasukan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page