top of page

Kerajaan negeri bangunkan SSTMP tangani kesesakan lalu lintas bandar utama - Ewon

  • nabalunews
  • Apr 27
  • 2 min read

27 April 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) sedang merangka perancangan jangka panjang yang komprehensif dan bersepadu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar utama, khususnya di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Keningau.


Menterinya merangkap Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, Kerajaan Negeri melalui MINDET kini membangunkan Pelan Induk Pengangkutan Mampan Negeri Sabah (SSTMP) sebagai dokumen strategik utama bagi memandu pembangunan sistem pengangkutan negeri.


“Pelan ini dirangka untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang cekap, bersepadu, selamat dan mampan, di samping menangani cabaran pembandaran pesat, peningkatan pemilikan kenderaan persendirian serta kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat.


“SSTMP turut merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang serta memberi penekanan kepada integrasi pelbagai mod pengangkutan termasuk darat, laut dan sungai sebagai satu sistem menyeluruh,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Abdul Ghani Mohamed Yassin pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Ewon berkata, Kerajaan Negeri juga komited memperkukuh sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP).


Katanya, pelaksanaan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) yang dikenali sebagai BAS.MY menyediakan perkhidmatan bas berjadual dengan laluan tersusun, kekerapan tetap serta pemantauan prestasi secara berterusan.


“Bas ini dilengkapi kemudahan moden seperti pembayaran tanpa tunai, GPS dan CCTV serta mesra pengguna termasuk warga emas dan Orang Kurang Upaya.


“Pelaksanaannya meliputi lapan laluan utama di Kota Kinabalu dan bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kementerian Pengangkutan Malaysia sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Projek Trans Borneo Railway sebagai inisiatif strategik jangka panjang.


“Projek ini berpotensi menjadi pemangkin transformasi sistem pengangkutan Sabah melalui pembangunan rangkaian rel baharu yang menghubungkan bandar utama dan kawasan pedalaman.


“Ia dijangka meningkatkan kecekapan pergerakan penumpang dan barangan, mengurangkan kebergantungan kepada jalan raya serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.


Ewon berkata, pendekatan kerajaan adalah berasaskan konsep pengangkutan bersepadu yang menggabungkan pelbagai mod bagi memastikan penyelesaian menyeluruh dan mampan.


“Dengan pelaksanaan SSTMP, BAS.MY dan projek seperti Trans Borneo Railway, kerajaan yakin isu kesesakan lalu lintas di bandar utama Sabah dapat ditangani secara berperingkat dan berkesan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page