top of page

Kerajaan Negeri bantu mangsa kebakaran SAN Pekan Tambunan

  • nabalunews
  • Mar 17
  • 1 min read

17 Mac 2026


TAMBUNAN: Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDN&P), Jabatan Ketua Menteri menyalurkan bantuan khas berjumlah RM57,250 bagi membantu guru-guru yang terjejas dalam insiden kebakaran Sekolah

Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan.


Bantuan Khas berupa wang tunai itu disampaikan oleh Timbalan Setiausaha PHEDN&P, Mohd Rizan Abran dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di

Pejabat Daerah Tambunan, di sini pada Selasa.


Mohd Rizan berkata, bantuan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban

guru-guru terbabit yang kehilangan pelbagai peralatan pengajaran serta barangan

peribadi akibat kebakaran yang berlaku pada 12 Oktober 2025 lalu.

Katanya, kejadian itu bukan sahaja memusnahkan sebahagian kemudahan sekolah,

malah turut menyebabkan bahan pengajaran, peralatan elektronik serta harta peribadi

milik guru terlibat hangus dijilat api.


“Kerajaan Negeri prihatin dengan kesukaran yang dihadapi mangsa terlibat dan

berharap bantuan khas ini dapat membantu mereka menggantikan keperluan asas serta

peralatan mengajar yang musnah,” katanya.


Antara yang menerima bantuan khas itu ialah Guru Besar sekolah berkenaan, Ahmad Subri Janing, yang kehilangan komputer riba serta bahan pengajaran apabila

pejabat dan peralatan kerja musnah dalam kebakaran itu.


Turut menerima bantuan khas ialah beberapa guru lain yang kehilangan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), fail pengajaran, buku rujukan, peralatan audio seperti pembesar suara pengajaran serta barangan peribadi termasuk peralatan rumah dan kenderaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page