top of page

Kerajaan Negeri beri peruntukan RM11.6 juta kepada YUM tahun ini

  • nabalunews
  • Jul 5, 2025
  • 2 min read

5 Julai 2025


TUARAN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini bagi meneruskan Program Kredit Mikro yang bertujuan memperkasakan usahawan tempatan, khususnya golongan wanita berpendapatan rendah.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri komited membantu YUM melaksanakan peranannya dengan menyediakan dana yang mencukupi.


Katanya, ia bagi membolehkan agensi itu terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, YUM turut menerima peruntukan geran sebanyak RM10 juta bagi modal pusingan pinjaman.


“Selain itu, YUM turut menerima geran perbekalan tahunan daripada kerajaan untuk menampung sebahagian kos operasi program pinjamannya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Keluarga YUM Tuaran di Dewan Sri Sulaman hari ini.

Hajiji berkata, beliau berharap para peminjam YUM dapat melunaskan pinjaman mereka tepat pada masanya supaya lebih ramai lagi dapat menikmati manfaat daripada program berkenaan.


“Kejayaan peminjam dalam memanfaatkan pinjaman YUM dengan baik bukan sahaja

dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka, malah membolehkan agensi ini

meluaskan usaha membantu lebih ramai rakyat meningkatkan taraf hidup kerana

mempunyai modal pusingan pinjaman yang mencukupi.


“Dalam masa yang sama, ahli-ahli YUM juga hendaklah sentiasa meningkatkan

kemahiran perniagaan mereka dengan menyertai bengkel, kursus dan latihan yang

disediakan termasuk oleh agensi lain, berinovasi dan menggunakan teknologi terkini

serta meluaskan pasaran perniagaan masing-masing,” katanya.


YUM merupakan sebuah badan amanah negeri di bawah Kementerian Kewangan

Negeri yang menyediakan perkhidmatan kredit mikro bagi membantu isi rumah termiskin

keluar daripada kemiskinan melalui modal pinjaman untuk menjalankan aktiviti menjana

pendapatan.


Sejak penubuhannya pada tahun 1995, Yayasan Usaha Maju telah menjadi salah satu

agensi paling penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi,

khususnya dalam komuniti luar bandar dan pedalaman.


Sementara itu, Hajiji berkata, YUM telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM805.25 juta melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 peminjam, dengan 18,888 ahli masih

mempunyai pinjaman aktif.


“Prestasi bayaran balik pinjaman juga amat membanggakan dengan kadar bayaran

balik kumulatif melebihi 96 peratus.


“Ini menunjukkan bahawa peminjam yang

kesemuanya wanita merupakan pembayar yang baik atau good paymaster,” katanya.


Menurutnya, hampir 20 peratus daripada peminjam YUM yang sebelum ini berada di

bawah paras garis kemiskinan telah berjaya memperoleh pendapatan bulanan melepasi

garis tersebut.


“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan bahawa program pinjaman YUM mampu meningkatkan pendapatan serta membantu rakyat keluar

daripada kemiskinan.


“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga kerja YUM atas pencapaian

ini, begitu juga kepada semua ahlinya yang telah memanfaatkan perkhidmatan kredit

mikro ini dengan sebaiknya.


“Saya berharap Yayasan Usaha Maju akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang

tahun ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page