Kerajaan Negeri Jamin Pesawah Piasau Mula Tanam Ogos 2026
- nabalunews
- 33 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
10 Mac 2026
KOTA BELUD: Kerajaan Sabah memberi jaminan penuh untuk memulihkan kawasan sawah di Kampung Piasau yang terjejas teruk sehingga tidak berfungsi selama enam musim, dengan mensasarkan aktiviti penanaman padi dapat dimulakan semula pada Ogos tahun ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Ja’afar, berkata komitmen segera akan dilaksanakan melalui pelbagai agensi teknikal bagi memastikan para pesawah kembali bercucuk tanam. Sasaran itu dibuat selepas beliau menerima memorandum daripada Persatuan Kebajikan Pesawah Kampung Piasau dalam lawatan rasmi ke kawasan terbabit semalam.
“Kita komited untuk memastikan para pesawah di Kampung Piasau ini dapat kembali meneruskan aktiviti penanaman. Sasaran kita, pada bulan Ogos tahun ini mereka sudah boleh memulakan semula penanaman padi,” tegasnya.

Beliau berkata, bantuan akan disalurkan melalui Tabung Bencana dan diselaraskan bersama Jabatan Pertanian Sabah serta Pejabat Daerah Kota Belud. Bagi menangani isu kritikal sumber air, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan langkah segera dengan pemasangan pam mudah alih (mobile pump) untuk memastikan saliran air ke kawasan sawah.
Sebagai tanda sokongan berterusan, beliau merancang untuk melawat semula Kampung Piasau pada Julai 2026 bagi meninjau perkembangan kerja-kerja pemulihan yang sedang dilaksanakan. Perbincangan lanjut melibatkan agensi teknikal seperti IADA, JPS dan Jabatan Pertanian turut diadakan bagi merangka pelan pemulihan tanah sawah secara menyeluruh.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pesawah Kampung Piasau, Fedelis Boyogo, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan lawatan tersebut. Menurutnya, pihak persatuan akan terus berhubung dengan jabatan berkaitan untuk mendapatkan maklum balas bertulis serta memantau rapat pelaksanaan kerja-kerja pemulihan.
“Kami berterima kasih atas perhatian dan komitmen yang diberikan oleh Menteri dan jabatan berkaitan. Kami akan pastikan kebajikan para pesawah terus diberi perhatian dalam pelaksanaan projek pemulihan ini,” katanya.
Turut hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pengarah JPS Sabah, Pengarah IADA, Pengarah Jabatan Pertanian, Setiausaha Politik merangkap wakil kepada Timbalan Ketua Menteri III, serta pemimpin komuniti setempat.











