top of page

Kerajaan negeri komited pastikan persekitaran media yang adil dan saksama

  • nabalunews
  • Sep 30, 2024
  • 2 min read

29 September 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan persekitaran media yang adil dan saksama di Sabah agar semua suara didengari dan semua pandangan dihormati.


Katanya, menghormati dan melindungi kebebasan akhbar adalah penting untuk kemajuan sosial dan pembangunan demokrasi.


“Kerajaan negeri bertegas dalam hal ini. Justeru, kita akan terus menyokong penganjuran secara tahunan Kinabalu Press Award untuk mempromosikan kecemerlangan kewartawanan dan menggalakkan bakat baharu,” katanya pada malam anugerah kewartawanan Kinabalu Press Awards (KPA) 2024 di Hotel Hilton, di sini, malam ini.


Ketua Menteri berkata pelaporan yang bertanggungjawab memberi kesan kepada integriti berita.


“Wartawan dan organisasi media juga bertanggungjawab untuk mendukung etika, termasuk mengesahkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, menyediakan liputan seimbang merangkumi semua perspektif.


“Ini akan memastikan laporan kekal adil dan objektif,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Hajiji turut menghargai media di Sabah kerana menunjukkan sokongan kepada kerajaan negeri dengan melaporkan semua agenda pembangunan yang dilaksanakan.


Sehubungan itu katanya adalah penting untuk memperkukuhkan perkongsian pintar dalam menyebarkan maklumat yang jelas dan tepat kepada rakyat di Sabah.


Hajiji berkata KPA yang bertemakan ‘Progress Through Smart Partnership’ adalah tepat kerana beliau percaya kerjasama antara pengamal media dan kerajaan negeri adalah penting dalam menyebarkan maklumat mengenai agenda pembangunan negeri, khususnya pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.


“Pengamal media di Sabah, melalui laporan mereka, boleh memberi tumpuan kepada pembangunan kritikal yang paling memberi kesan kepada negeri dan rakyat selain melaporkan isu-isu lain yang sama penting,” katanya.


Sehubungan itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri berbangga untuk terus menjadi penaja utama KPA.


“Saya berharap dedikasi pengamal media terus berada pada tahap tertinggi dalam melaporkan berita yang benar, sahih dan tepat,” katanya.


Ketua Menteri turut memuji Shell, Petronas, Qhazanah Sabah Berhad dan terbaru SMJ Energy Sdn Bhd kerana menaja KPA.


“Saya berharap lebih ramai akan mencontohi usaha mereka untuk menyokong industri media,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page