Kerajaan Negeri komited untuk melahirkan modal insan berkualiti, peruntuk bajet lebih besar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Negeri komited untuk melahirkan modal insan berkualiti, peruntuk bajet lebih besar

18 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk memberikan pendidikan berkualiti kepada rakyat Sabah dengan memperuntukkan bajet yang besar, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.


Beliau berkata, antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri ialah program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang memberikan bantuan sebanyak RM12 juta kepada 1,600 sekolah di Sabah.


Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga merancang untuk membina Pusat Sains Sabah di Kota Kinabalu dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI).


"Manakala pembinaan Pusat STI di Tawau dan Sandakan bernilai lebih daripada RM10.2 juta daripada PETRONAS," katanya dalam ucapan beliau pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Tahun 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Grand Ballroom, Magellan Sutera Harbour, di sini, semalam.


Beliau berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM 4 juta melalui Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun ini bagi membantu membaiki dan menyelenggara kerosakan sekolah yang melibatkan kos di bawah RM50,000.


"Kerajaan Negeri juga memberi perhatian kepada Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah dengan memperuntukkan RM250,000 bagi Program STEM FIESTA dan pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau dengan kos sebanyak RM3.0 juta," katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan beberapa program bantuan pendidikan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan PIBG (BAGUS), Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan BISBAH.


Tambah beliau, semua program tersebut bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan golongan miskin dan B40 serta meningkatkan akses dan peluang pendidikan kepada semua rakyat Sabah.


Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastruktur pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti.


"Ini kerana dengan pendidikan yang terbaik, kita berupaya untuk mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah. Ia juga sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan," katanya.


Beliau juga berharap agar seluruh warga pendidik terus berprestasi tinggi, beristiqamah dan bersemangat dalam melaksanakan tugasan seharian untuk melahirkan insan yang terdidik dan mampu bersaing di persada global.


"Kita mahu melahirkan modal insan yang dapat memainkan peranan sebagai warganegara yang cemerlang dan bersama-sama Kerajaan untuk membina negara bangsa yang merupakan harapan kita semua," katanya.


Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua 48 penerima MAPenS sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada warga pendidik di atas perkhidmatan yang cemerlang dan komitmen yang tinggi, sumbangan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik khasnya pendidikan di Sabah.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page