top of page

Kerajaan Negeri perkukuh keselamatan tenaga, pastikan bekalan elektrik lebihstabil

  • nabalunews
  • 12 minutes ago
  • 2 min read

14 Mac 2026


TUARAN: Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan tenaga negeri melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, mampan dan berdaya tahan demi menyokong pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong langkah yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta menambah baik infrastruktur bekalan elektrik di Sabah.


Menurutnya, usaha berterusan itu merangkumi peningkatan keupayaan penjanaan tenaga, pengukuhan rangkaian penghantaran dan pengagihan serta penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada pengguna di seluruh negeri.

“Komitmen ini seiring dengan misi kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan Sabah serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.


“Dalam konteks ini, kerajaan negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan bersama Ketua Menteri di perkarangan Masjid At-Taqwa, Perumahan Laya-Laya Tuaran, di sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan projek penjanaan tenaga baharu yang melibatkan campuran sumber tenaga lebih pelbagai.


Katanya, ia termasuk penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan di samping pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan angin serta penggunaan teknologi penyimpanan tenaga moden termasuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan hidro simpanan pam.


Dalam pada itu, beliau berkata Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak yang dilancarkan pada awal tahun ini dijangka memperkukuh lagi kestabilan sistem bekalan elektrik di negeri ini.


Menurutnya, projek berkenaan bukan sahaja menjadikan bekalan tenaga lebih stabil dan boleh dipercayai, malah membantu mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat.


“Pada masa sama, ia turut meningkatkan margin rizab elektrik Sabah serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini,” katanya.


Hajiji berkata pelancaran Projek Solar 15 megawatt (MW) di Tuaran baru-baru ini juga menjadi langkah penting dalam transformasi struktur tenaga Sabah.


Menurutnya, projek berkenaan bukan sahaja menambah kapasiti tenaga kepada sistem bekalan elektrik negeri, malah selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP2040) yang memberi penekanan kepada pembangunan tenaga boleh baharu serta kepelbagaian sumber tenaga.


“Usaha ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri kerana tanpa bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi, sukar bagi kita menarik pelaburan berimpak tinggi serta membangunkan industri bernilai tambah,” katanya.


Beliau turut memuji komitmen Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui inisiatif sumbangan Wakalah Zakat kepada golongan asnaf, masjid dan institusi tahfiz di Tuaran.


Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan memerlukan, malah mengeratkan hubungan antara kerajaan, agensi dan masyarakat.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page