• Marryan Razan

Kerajaan negeri perlu desak persekutuan laksana tanggungjawab perlembagaan - Ewon



12 Disember 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu mendesak Kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan tanggungjawab perlembagaan di bawah Perkara 112, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk memberi 40 peratus hasil persekutuan di Sabah kepada kerajaan negeri di bawah Perkara 112 C & D Perlembagaan Persekutuan.


“Walaupun ia sedang dibincangkan namun, jika Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya bersidang dua kali setahun, sampai bila perkara ini selesai? Saya tidak nampak sense of urgency kerajaan pusat dalam menunaikan tanggungjawab ini.


“Sebab itu kerajaan negeri perlu ada pendekatan baharu kerana perundingan melalui pelbagai jawatankuasa dan kini Majlis Khas MA63 mengambil masa terlalu lama.


“Pendekatan baharu itu ialah kerajaan persekutuan memberi jaminan kepada kerajaan negeri Sabah dan lupuskan hutang dengan tanggungjawab persekutuan di bawah perkara 112. Dalam hal ini semua wakil rakyat (pembangkang dan kerajaan) harus bersatu hati meminta jaminan agar Kerajaan Pusat melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Webinar “Semakan Belanjawan 2022, Masa Hadapan Untuk Sabah, anjuran Kinabalu Reform And Research Initiative For Strategic Leadership (KRISTAL), semalam.


Ewon berkata, hasil negeri banyak bergantung kepada tiga sumber utama iaitu royalti petroleum, cukai jualan petroleum dan cukai jualan minyak sawit.


Bagaimanapun katanya, komoditi itu bergantung kepada supply and demand, “harga pasaran juga tidak menentu, sebab itu ia boleh menjejaskan hasil negeri.


“Oleh itu saya berpendapat pelan kontigensi ialah kita perlu mengambil serius Perkara 112 C & D Perlembagan Persekutuan di mana Sabah di bawah perlembagaan ini berhak menerima semula 40 peratus cukai persekutuan daripada Sabah termasuk cukai petronas kepada kerajaan, selain cukai lima peratus yang kita kenakan sejak 2018.


“Pelan kontigensi ini, saya cadangkan kepada kerajaan di DUN supaya menyediakan Bajet Khas yang dibiayai dibawah Perkara 112 dan kerajaan persekutuan harus memberi jaminan kalau kita pinjam, kerajaan perlu komited melaksanakan tuntutan perlembagaan,” katanya.