- Wartawan Nabalu News
Kerajaan negeri Sabah tubuhkan Tabung Amanah Khas
10 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah menubuhkan satu Tabung Amanah Khas untuk menguntukkan peruntukan bagi menampung kekurangan dana dalam pelaksanaan program-program yang berkaitan dengan pencegahan dan pemulihan bencana, pembasmian kemiskinan, penyediaan infrastruktur dan utiliti serta kemudahan perkhidmatan sosial.
Tabung Amanah Khas ini ditubuhkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan kepada Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan 1964 (No.9 tahun 1964) pada hari ini, dengan mematuhi kehendak seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun yang membentangkan rang undang-undang yang dinamakan Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023 itu berkata, terdapat beberapa program dan aktiviti yang tidak tersenarai di bawah peruntukan perbelanjaan perbekalan dan pembangunan, dan suatu program dan aktiviti perlu diwujudkan bagi menangani masalah luar jangka, contohnya jika berlaku bencana alam.
"Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menubuhkan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri untuk menampung sebarang kekurangan peruntukan untuk disalurkan kepada Kementerian, Jabatan, Pejabat Daerah atau Agensi-Agensi Kerajaan Negeri yang akan melaksanakan antara lain program dan aktiviti seperti berikut," katanya.
Beliau menyenaraikan program-program tersebut sebagai berikut:
- Program pencegahan dan pemulihan bencana alam yang melibatkan di antaranya ialah bencana banjir, ribut taufan, kebakaran, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau, wabak penyakit dan epidemic;
- Program-program pembasmian kemiskinan;
- Program penyediaan kemudahan perkhidmatan sosial yang meliputi penyediaan kemudahan peralatan pembelajaran dan peralatan kesihatan;
- Perkhidmatan infrastruktur dan utiliti yang meliputi pembinaan, penyenggaran dan naiktaraf jambatan, jalanraya, cerun serta kemudahan sokongan yang lain termasuk penyediaan utiliti elektrik, air dan pembetungan; dan
- Sebarang perbelanjaan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Khas yang tidak termasuk dalam perkara–perkara yang disebutkan seperti bantuan kepada mangsa bencana contohnya mangsa banjir dan kebakaran.
Masidi juga menjelaskan bahawa sumber kewangan Tabung Amanah Khas ini adalah pencaruman daripada Kumpulan Wang Amanah dalam wang perbelanjaan tahunan Kerajaan Negeri yang mana jumlah belum dapat ditentukan pada masa ini.
Selain itu, katanya, Tabung Amanah Khas ini boleh menerima sumbangan daripada Agensi-agensi Kerajaan; Badan-badan Korporat; Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO); serta daripada individu dan dermawan.
"Tabung Amanah Khas ini juga ditubuhkan sebagai persediaan awal untuk meletakkan peruntukan Persekutuan sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk tidak menarik balik mana-mana peruntukan tahun kewangan semasa jika tidak habis digunakan," tambahnya.
Beliau berkata, pentadbiran dan pengawalan Tabung Amanah Khas ini akan ditadbir kawal oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Bagi maksud tersebut, seorang Pegawai Perakaunan akan dilantik oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab mengakaunkan penerimaan dana ke dalam Tabung Amanah tersebut.
"Justeru itu, penubuhan Tabung Amanah Khas ini adalah penting bagi memastikan Kerajaan Negeri mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung sebarang kekurangan peruntukan terutamanya bagi memastikan program pembangunan Negeri dapat dilaksanakan dengan lancar termasuk bagi menyantuni rakyat semasa dalam kesusahan dan memerlukan bantuan segera daripada Kerajaan Negeri," katanya.
Comments