top of page

Kerajaan Negeri Salurkan Bantuan Motosikal Baharu kepada 'Hero Senyap' Pangi

  • nabalunews
  • Mar 4
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


4 Mac 2026


TENOM: Kerajaan Negeri menunjukkan keprihatinan terhadap enam pemuda Kampung Pangi yang bertindak sebagai 'hero senyap' dengan menyalurkan sumbangan enam unit motosikal baharu. Bantuan itu bertujuan menggantikan motosikal troli milik mereka yang musnah dalam insiden kereta api hilang kawalan awal pagi semalam.


Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, yang menghubungi Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar untuk menyampaikan persetujuan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


Menurut Jamawi, tindakan enam pemuda yang sanggup mengorbankan kenderaan mereka dengan meletakkannya di atas landasan kereta api telah berjaya mengelakkan tragedi yang lebih buruk.


“Jika tidak kerana enam motosikal troli yang diletakkan di atas landasan, kemungkinan besar kejadian lebih ngeri boleh berlaku memandangkan kelajuan kereta api ketika itu sukar dikawal sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.


Beliau turut memuji ketenangan pemandu kereta api yang tidak panik ketika berdepan situasi cemas, sekaligus membolehkan keadaan dikawal sepenuhnya selepas motosikal-motosikal tersebut memperlahankan pergerakan tren.


Mewakili enam pemilik motosikal, Jamawi merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas sumbangan itu serta menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian mereka.


“Mereka adalah 'unsung hero' yang bertindak di luar kebiasaan demi keselamatan orang ramai. Sikap berani dan prihatin ini wajar dipuji dan dicontohi,” ujarnya.


Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sokongan moral kepada warga pendidik Sekolah Kebangsaan Pangi agar terus tabah mendidik anak bangsa di kawasan pedalaman meskipun berdepan pelbagai cabaran.


“Kami amat berbangga dengan dedikasi para guru di SK Pangi. Teruskan perjuangan murni ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page