- Wartawan Nabalu News
Kerajaan negeri sokong penuh SDB
12 Julai 2024
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tegas dan teguh memberikan sokongan padu kepada Sabah Development Bank (SDB) dan menjelaskan bahawa pinjaman tidak berbayar (NPL) RM5 bilion bank itu adalah terjamin dan boleh diperolehi semula.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menegaskan bahawa komitmen kerajaan negeri adalah untuk memastikan kewajiban bon dan pembayaran balik bank itu, tetap utuh.
"Saya ingin menegaskan semula sokongan kerajaan negeri kepada SDB khususnya berhubung komitmen kita untuk memastikan kewajiban bon dan pembayaran balik SDB, kekal utuh.
"Bank berkenaan mencerminkan keupayaan dan kedudukan kewangan negeri serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Sabah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
"Kementerian Kewangan ingin menjelaskan dan memberikan jaminan bahawa NPL sebanyak RM5 billion itu bukan satu kerugian, sebaliknya boleh diperolehi semula kerana kebanyakannya dijamin dengan aset seperti tanah yang aktif dalam tindakan perolehan semula.
Baru-baru ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Masidi menjelaskan SDB akan mengumumkan kerugian untuk tempoh 2023-2024 sejajar dengan amalan terbaik dan piawaian perakaunan.
Masidi menegaskan bahawa SDB sentiasa memenuhi komitmen pembayaran bon bank berkenaan pada masa lalu dan pihak bank mempunyai modal mencukupi untuk memenuhi komitmen pembayaran bon di masa hadapan.
“Saya dimaklumkan bahawa SDB, selepas pengumuman itu telah berhubung dengan pelabur utama, penyimpan dan pihak berkepentingan lain, secara proaktif.
“Respon umum menyatakan terdapat pemahaman dan sokongan penuh untuk bank melaksanakan tanggungjawabnya dan ini dijamin dengan sokongan kuat kerajaan negeri terhadap pelan transformasi SDB.
“Sokongan kuat kerajaan negeri bukan sahaja dalam pembayaran balik pinjaman Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), tetapi Kementerian Kewangan Sabah juga telah mengeluarkan surat kepada GLC lain untuk meletakkan lebihan wang tunai sebagai Deposit Tetap dengan SDB.
"Kami juga meletakkan kedudukan SDB sebagai peminjam atau pengurus utama untuk menyediakan serta membiayai projek pelaburan besar ke Sabah pada masa akan datang.
Masidi berkata satu lagi sokongan kewangan penting ialah penukaran Deposit Negeri sebanyak RM660 juta kepada saham keutamaan boleh tebus atau 'Redeemable Preference Shares' dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk memperukuhkan permodalan bank,” katanya.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu legasi telah menjejaskan kedudukan kewangan SDB.
Bagaimanapun katanya, pencapaian telah direkodkan sejak Lembaga dan Pengurusan baharu SDB dilantik pada separuh kedua 2023. Jumlah agregat prinsipal yang belum dibayar bagi pinjaman GLC oleh Bank telah dikurangkan daripada RM2.2 bilion pada Julai 2023 kepada RM0.7 bilion ketika ini, dan obligasi bon telah dikurangkan daripada RM5.0 bilion kepada RM3.9 billion.
Masidi berkata pasukan baharu telah melaksanakan tadbir urus yang ketat dan melaporkan dakwaan salah laku kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SDB juga telah menerima pakai amalan industri dan garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) dan telah memulakan langkah-langkah untuk mendapatkan semula NPL dengan sasaran agresif untuk mendapatkan semula RM1 bilion dari pinjaman tidak berbayar setahun untuk tempoh tiga tahun akan datang.
"Bank menjangkakan untuk keluar dari pasaran Semenanjung Malaysia pada ketika itu kelak," katanya.
"Bank kini berpandukan kepada mandat daripada kerajaan negeri untuk meneruskan projek pembangunan hanya di Sabah dan Sabah sahaja yang mendatangkan manfaat dari segi ekonomi dan sosial serta tidak menjejaskan alam sekitar.
"Permohonan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion yang gagal menepati kehendak mandat ini atau tidak memenuhi ujian kredit ketat yang baru diperkenalkan oleh pihak bank, telah ditolak.
Sebaliknya, pinjaman berjumlah RM616 juta bagi sektor tumpuan iaitu Air, Tenaga dan Infrastruktur, telah diluluskan.
"Kerajaan negeri sekali lagi ingin menegaskan sokongan penuh kepada SDB dan kepimpinan baharu bank itu serta penstrukturan yang bakal dilaksanakan SDB agar bank itu menjadi sebuah bank pembangunan yang membanggakan rakyat dan negeri ini.
Comentarios