Wartawan Nabalu News
Kerajaan perlu jelaskan cadangan pemberian dokumen pengenalan Kad Warga Asing
21 Mac 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah perlu memberi penjelasan kepada rakyat Sabah mengenai cadangan pemberian dokumen pengenalan Kad Warga Asing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting bagi menjawab persoalan rakyat negeri ini sama ada kerajaan bersetuju memberikan kad warga asing atau sebaliknya.
“Dalam sidang yang lepas, YAB Ketua Menteri telah menyatakan bahawa tidak akan ada dokumen pengenalan diberikan kepada pendatang asing yang telah menerima suntikan vaksin. Tetapi kita telah digemparkan dengan cadangan baharu pemberian dokumen pengenalan Kad Warga Asing.
“Nampaknya Menteri Dalam Negeri begitu bertekad melaksanakan dokumen pengenalan ini. Justeru, saya mohon penjelasan daripada Ketua Menteri samada ianya masih di peringkat cadangan atau sudah dimuktamadkan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Pendatang Asing di mana Ketua Menteri adalah Pengerusi Bersama.
“Apakah bezanya dokumen pengenalan ini dengan cadangan dokumen lama iaitu Pas Sementara Sabah dan Pas Residen Sabah yang pernah dicadangkan oleh kerajaan terdahulu dan disebut dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Asing di Sabah.
“Apa ciri, siapa kumpulan sasaran dan apa kepentingannya? Siapa yang membiayai pengeluaran dokumen ini, berapa kos terlibat dan adakah pendatang asing yang menerimanya akan terikat dengan undang-undang baharu?,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
“Saya sebenarnya ingin melihat tekad Menteri Dalam Negeri menghantar ‘kumpit-kumpit’ balik ke negara asal, bukannya tekad beliau memberi dokumen pengenalan kepada pendatang asing. Apapun inilah yang perlu dijelaskan oleh Kerajaan,” katanya.
Commentaires