Rizoh Evied
Kerajaan perlu serius selesaikan isu pengangguran, kemiskinan di Sabah
9 Okt 2021
Oleh Rizoh Evied
Kadar pengangguran di Sabah dijangka terus meningkat pada masa hadapan sekiranya tiada pelan pembangunan ekonomi menyeluruh diperkenalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.
Selain memegang rekod sebagai negeri termiskin di Malaysia dengan mencatat kadar kemiskinan tertinggi iaitu 19.5 peratus pada tahun 2019. Sabah juga turut mencatat kadar pengangguran tertinggi iaitu 5.8 peratus pada tahun yang sama dan meningkat mendadak kepada 8.0 peratus pada tahun 2020, jauh melebihi paras nasional (4.5 peratus).
Laporan terkini Jabatan perangkaan negara pada Julai 2021 menyatakan seramai 778,200 orang penduduk Malaysia kini hilang pekerjaan atau masih menganggur.
Tahun 2020 turut mencatatkan sebanyak 1.89 juta lepasan ijazah bekerja dalam sektor separa mahir atau tanpa kemahiran, yang sepatutnya dikhaskan kepada lepasan SPM dan diploma. Ini bermakna, seramai 1.89 juta lepasan SPM dan diploma telah kehilangan peluang pekerjaan tersebut.
Sekiranya kehilangan peluang pekerjaan dalam kalangan lepasan SPM dan diploma akibat persaingan dengan golongan lepasan ijazah ini berterusan setiap tahun tanpa ditangani segera, maka keadaan ini akan meningkatkan lagi kadar pengangguran dan menambah jurang kemiskinan yang lebih besar kepada golongan belia berpendapatan rendah B40, khususnya di Sabah yang kini masih kekal antara tertinggi bagi kedua-dua kategori tersebut.
Berikutan persaingan dan peluang pekerjaan yang terhad di Sabah, sebahagian besar belia termasuk lepasan Ijazah dan diploma dalam golongan B40, terpaksa memilih untuk merantau ke semenanjung atau ke luar negara untuk mencari pekerjaan. Penghijrahan golongan belia ke luar ini menyebabkan Sabah kehilangan potensi sumber tenaga kerja, pengurangan kuasa beli dan kebocoran takungan bakat yang penting dalam memangkin usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi Sabah. Keadaan ini juga menyukarkan usaha kerajaan negeri memulihkan aktiviti industri hiliran dan merancakkan ekonomi domestik melalui pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021-2025).
Pelaksanaan RMK-11 (2016-2020) oleh Putrajaya jelas telah gagal menangani isu pengangguran dan kemiskinan di Sabah sungguh pun Sabah merupakan salah satu penyumbang utama kepada nilai KDNK Negara. Putrajaya masih juga gagal membangun infrastruktur di Sabah seiring dengan pembangunan di semenanjung walau pun telah mengambil 95 peratus hasil minyak dan gas di Sabah sejak 1974 melalui akta pembangunan petroleum 1974 semasa deklarasi ordinan darurat pada 1969 dan seterusnya melalui pindaan perlembagaan pada tahun 1976, yang menyaksikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, rakan setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu, diturunkan kepada status negeri seperti negeri-negeri di Semenanjung.
Sabah merupakan sebuah wilayah yang mempunyai daratan yang luas dan subur, dan memiliki sumber hasil bumi yang berlimpah, tetapi masih belum mampu diolah oleh kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya melalui pengurusan sumber dan aset yang ada tersebut.
Justeru itu, kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah perlu lebih serius merangka dasar yang lebih strategik dalam pelaksanaan RMK-12 bagi menangani isu pengangguran di Sabah dan mengurangkan penghijrahan golongan belia ke luar negara untuk mencari pekerjaan. Setidak-tidaknya, mengembalikan semula 40 peratus dari jumlah hasil yang dikutip oleh Putrajaya dari Sabah kepada kerajaan Negeri agar Sabah mempunyai dana yang mencukupi untuk menyelesaikan isu pengangguran, menurunkan kadar kemiskinan dan mengurangkan aliran keluar sumber manusia dalam kalangan belia.
Putrajaya telah melaksanakan beberapa usaha memulihkan ekonomi Negara ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 termasuk Pakej Ransangan Ekonomi (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion sepanjang tahun 2020. Namun, kadar pengangguran di Sabah terus meningkat mendadak dari 5.8 peratus (2019) kepada 8.0 peratus (2020), berbanding Kelantan yang hanya mengalami kenaikan kadar pengangguran dari 4.0 peratus (2019) kepada 4.3 peratus (2020) walau pun sama-sama berhadapan dengan cabaran Pandemik Covid-19.
Ini menunjukkan pelaksanaan pakej, pelan atau program pemulihan ekonomi yang bernilai ratusan bilion ringgit tersebut kurang mencapai sasaran dan objektif bagi pemulihan ekonomi di Sabah, khususnya isu pengangguran, pekerjaan dibawah kelayakan dan kadar kemiskinan.
Comments