top of page

Kerajaan Persekutuan digesa beri perhatian tinggi atasi jurang antara wilayah

Wartawan Nabalu News

8 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memberikan perhatian dan komitmen yang tinggi dalam mengatasi jurang wilayah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.


Menurut Shahelmey, konsep jurang wilayah harus dijadikan naratif utama dalam pelaksanaan penting untuk menegakkan keadilan sosial sejalan dengan konsep Malaysia Madani.


Katanya, jika usaha untuk merapatkan jurang wilayah ini tercapai, maka hasrat Malaysia Madani dapat dirasai oleh seluruh rakyat negara kita yang kita cintai


Shahelmey, yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, menyambut baik pengumuman peruntukan RM 20 bilion bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.


"Dengan adanya dana sebanyak RM 20 bilion, adalah menjadi harapan kami untuk melihat pelaksanaan baki 20 daripada 35 pakej dalam fasa 1 lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya semasa membahas Belanjawan 2023 di Parlimen Kuala Lumpur kelmarin.


Shahelmey juga mencadangkan agar dipertimbangkan pengecualian terhadap sesi Value Assesment (VA) terhadap pakej-pakej yang berkenaan untuk mempercepatkan pelaksanaan lebuhraya Pan Borneo Highway Sabah fasa 1.


"Dengan pengecualian ini, adalah dijangka dapat menjimatkan sekitar empat hingga lima bulan kerja reka bentuk," katanya.


Beliau berharap agar dana ini dapat disalurkan pada tahun ini bagi membolehkan pelaksanaan lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dibuat awal dan juga akan melibatkan kontraktor-kontraktor tempatan Sabah yang berwibawa dan berkeupayaan.


Selain daripada Lebuhraya Pan Borneo, Shahelmey turut memohon agar dipertimbangkan tambahan peruntukan untuk penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di Sabah yang memerlukan kerja-kerja penambahbaikan terutamanya jalan di laluan Tamparuli-Ranau dan Kianabatangan-Lahad Datu.


Comments


bottom of page