top of page

Kerajaan Persekutuan perlu lebih proaktif laksana hak 40 peratus Sabah tanpa penangguhan

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

7 Mac 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa supaya mengambil langkah lebih proaktif dalam melaksanakan pembayaran berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang diputuskan Mahkamah Tinggi tanpa sebarang penangguhan, mengikut kapasiti sedia ada.


Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim berkata permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran tersebut adalah sesuatu yang sepatutnya dapat dielakkan.


Katanya, meskipun memahami Kerajaan Persekutuan mungkin memerlukan sedikit masa bagi menyusun mekanisme serta kaedah pelaksanaan tuntutan berkenaan secara teratur dan efisien, penangguhan pelaksanaannya dalam keadaan semasa dilihat bukan keputusan yang paling wajar.


“Langkah yang lebih meyakinkan ialah memulakan pembayaran sebahagian dana berkaitan berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada, sementara jumlah sebenar serta formula pengiraan dimuktamadkan melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam tempoh ditetapkan.


“Sebarang penangguhan terhadap perkara ini hanya akan menambahkan keresahan serta meningkatkan sentimen rakyat Sabah yang telah sekian lama menantikan penyelesaian yang adil terhadap hak negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Sabtu.


Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 telah menegaskan bahawa Sabah mempunyai hak perlembagaan terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.


Justeru katanya, pelaksanaan keputusan tersebut wajar dizahirkan melalui komitmen dan itikad baik semua pihak.


Pada masa sama, Azrul berkata isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Negeri tidak serius dalam menuntut hak tersebut.


“Hakikatnya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri telah menunjukkan komitmen yang konsisten dan berprinsip dalam memperjuangkan hak-hak Sabah termasuk melalui rundingan berkaitan Malaysia Agreement 1963 (MA63).


“Rekod kerajaan negeri jelas memperlihatkan pendekatan yang tegas dan berhemah melalui saluran rundingan, perundangan serta kerjasama antara kerajaan bagi memastikan hak Sabah dapat dipulihkan secara berperingkat dan berkesan,” ujarnya.


Semalam, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mendakwa Kerajaan Persekutuan telah memfailkan satu Notis Usul (Notice of Motion) pada Februari 2026 bagi menangguhkan pelaksanaan perintah berkaitan tuntutan hak hasil Sabah.


Menerusi Notis Usul tersebut, Kerajaan Persekutuan memohon supaya pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam tuntutan Geran Khas 40 peratus ditangguhkan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page