Kerajaan Sabah anjur Sambutan Krismas Peringkat Negeri 16–19 Disember Ini
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

15 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan menganjurkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah bermula 16 hingga 19 Disember 2025, di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Ewon Benedick yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, buat julung kalinya, sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Sabah Council of Churches (SCC) telah diangkat sebagai sambutan di peringkat negeri.
Beliau berkata, penganjuran ini mencerminkan keterbukaan serta komitmen Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Hajiji Haji Noor dalam menyokong sambutan perayaan keagamaan.
“Sambutan ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Haji Aman, pada 16 Disember 2025, manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Haji Noor pada 19 Disember 2025.
“Tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai Dalam Kasih” (Hope For Peace In Love), menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama, selaras dengan wawasan Sabah First,” katanya.
Ewon berkata, selain pelbagai pengisian pentas, turut diadakan ialah Jamuan Rakyat yang melibatkan 100 usahawan dari kalangan penjaja-penjaja tempatan yang akan menjadi pembekal pelbagai juadah jamuan sebagai sokongan Kerajaan kepada perusahaan mikro dan kecil.
Sehubungan itu, Ewon menjemput seluruh rakyat Sabah hadir memberi nilai dan makna kepada sambutan ini.


















Comments