Kerajaan Sabah bekal 100 mesin hemodialisis kepada hospital, klinik kesihatan
- nabalunews
- Mar 7
- 2 min read

7 Mac 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan membekalkan 100 mesin hemodialisis kepada 24 hospital dan klinik kesihatan di seluruh Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, bantuan berkenaan disediakan menerusi Skim Bantuan Kesihatan SMJ Sabah Sejahtera.
Katanya, bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri itu akan diserahkan dalam tempoh terdekat.
“Inisiatif itu sebagai solusi jangka pendek bagi meringankan beban pesakit dan pemberi perkhidmatan selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Semua mesin hemodialisis berkenaan juga bagi menambah dan menggantikan mesin-mesin rosak yang menjangkau usia hampir 10 tahun,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di Hotel Hilton, semalam.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr. Maria Suleiman.
Justeru katanya, dengan adanya mesin hemodialisis itu, ia sudah pasti akan membantu para pesakit buah pinggang untuk mendapat rawatan yang sewajarnya.
"Ini kerana jika dilihat hari ini, kita amat sedih melihat rakyat yang tidak mendapat perkhidmatan mesin hemodialisis di hospital-hospital kerajaan kerana mereka terpaksa menerima rawatan di klinik-klinik swasta ataupun di pusat-pusat dialisis yang dibuat oleh pihak swasta.
“Bagi seorang pesakit yang menggunakan mesin hemodialisis, mereka terpaksa membayar kos rawatan lebih RM2,000 sekiranya terpaksa mendapat perkhidmatan daripada pihak swasta,” katanya.
James berkata, bagi fasa pertama, skim berkenaan menumpukan kepada pesakit dan perkhidmatan hemodialisis iaitu seramai 1,385 pesakit di klinik dan hospital serta 797 pesakit yang menjalani rawatan kendiri di rumah.
Katanya, ia melibatkan dua jenis bantuan iaitu pertama caj rawatan di klinik dan hospital dan kedua rawatan kendiri di rumah menggunakan mesin hemodialisis air atau 'Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis' (CAPD).
“Kerajaan akan menanggung caj rawatan pesakit yang melibatkan yuran pendaftaran RM1, caj rawatan RM13 serta yuran pakar RM5 selama setahun atau sehingga ada keputusan untuk menghentikan pelaksanaan skim berkenaan.
"Pesakit yang menjalani rawatan kendiri iaitu CAPD, kerajaan juga akan menanggung caj pusat dialisis sebanyak RM100 untuk sekali saja," katanya.
Menurutnya, peruntukan yang disediakan untuk skim ini berjumlah RM8,524,880 melibatkan kos rawatan sebanyak RM4,024,880 dan kos mesin hemodialisis berjumlah RM4,500,000.
Katanya, pelaksanaan skim itu akan memastikan kesejahteraan masyarakat dengan meningkatkan kadar kelangsungan dan kualiti hidup khususnya pesakit buah pinggang tahap akhir (ESRF).
"Kerajaan amat memahami dan prihatin terhadap penderitaan pesakit ESRF yang tidak mendapat rawatan kerana kos rawatan yang tinggi.
“Pelaksanaan skim ini juga selaras dan memenuhi teras kedua SMJ iaitu 'Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat Sabah'," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr. Maria Suleiman berkata, bantuan 100 mesin hemodialisis berkenaan bukan saja bagi menambah bilangan mesin sedia ada tetapi turut menggantikan mesin yang sudah rosak.
Katanya, setakat ini sebanyak 39 mesin hemodialisis yang rosak akan digantikan selepas menerima bantuan mesin baharu.
“Bantuan berkenaan membantu mengurangkan kadar nisbah pesakit buah pinggang yang perlu rawatan dengan jumlah mesin hemodialisis di hospital dan klinik seluruh Sabah.
“Pihak JKNS amat berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif yang disediakan melalui Skim Bantuan Kesihatan SMJ Sabah Sejahtera,” katanya.
Comments