top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Sabah harus ada ekuiti dalam setiap pelaburan multinasional – Ewon

27 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan Sabah harus ada ekuiti dalam setiap pelaburan multinasional bagi menambah hasil kerajaan negeri.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Negeri 2024, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.


“Bagi menambahkan lagi hasil Kerajaan Sabah, saya ingin mencadangkan agar Kerajaan mensyaratkan pemilikan ekuiti negeri dalam setiap pelaburan terus syarikat multinasional negara atau luar negara yang dilaksanakan di Sabah.


“Ini termasuk syarikat multinasional yang berhasrat mendapatkan lanjutan pajakan sedia ada bagi yang terlibat dalam sektor perladangan,” katanya.


Ewon berkata, unjuran hasil bagi tahun 2024 sebanyak RM5.737 bilion didasari dua punca hasil utama iaitu hasil cukai terutamanya Cukai Jualan Negeri (CJN) dan hasil bukan cukai (royalti petroleum).


Mengenai punca hasil terkait dengan terimaan bukan hasil iaitu pemberian daripada Kerajaan Persekutuan serta komitmen Kerajaan Negeri meneruskan tuntutan berkenaan Pemberian Khas, beliau memohon agar dewan merekodkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang telah meningkatkan kadar pemberian khas interim kepada Sabah daripada RM125.6 juta kepada RM300 juta serta perakuan bahawa keputusan ini hanyalah bersifat interim seperti dinyatakan dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2024.


“Dewan ini juga harus merakamkan penghargaan di atas komitmen Kerajaan Perpaduan memuktamadkan formula kekal pemberian khas ini dalam tempoh satu tahun dari tarikh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada Julai 2023.


“Dalam ketegasan kita memperjuangkan penyelesaian tuntas kepada tuntutan ini, saya berharap dan mencadangkan agar Kerajaan Sabah tampil dengan cadangan formula pemberian khas yang boleh diterima sekiranya kita tidak dapat bersetuju dengan cadangan formula yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan Persekutuan,” katanya.


Oleh itu, Ewon mencadangkan agar jawatankuasa perunding yang ditubuhkan sebelum ini yang diketuai oleh Menteri Kewangan diperkasakan dengan pasukan pakar bagi membantu Kerajaan negeri mengemukakan cadangan formula yang kekal berdasarkan interpretasi perlembagaan dan analisa cukai serta hasil persekutuan di Sabah.


“Saya mencadangkan agar pemberian semula 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip secara langsung daripada Sabah terutamanya cukai pendapatan dan kutipan kastam dan kutipan secara tidak langsung seperti cukai syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di Sabah tetapi didaftarkan di luar Sabah dibincangkan berasingan.


“Cadangan ini bagi membolehkan Sabah menikmati tambahan hasil kepada Belanjawan Negeri yang lebih segera sementara meneruskan rundingan mengenai kutipan hasil persekutuan tidak langsung,” katanya.


Beliau turut mengulangi cadangan supaya kerajaan negeri menerokai potensi mengujudkan enakmen khas terkait pemungutan semula hasil persekutuan bagi melengkapkan apa yang sudah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Comentarios


bottom of page