- Wartawan Nabalu News
Kerajaan Sabah iktiraf 31 Ogos sebagai Hari Sabah?

31 Ogos 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Fakta sejarah mengenai Kemerdekaan Sabah atau Hari Pemerintahan Sendiri dan Hari Malaysia amat penting untuk diberi penekanan terutamanya di peringkat sekolah bagi mengelak kekeliruan berterusan rakyat Sabah terutama generasi muda.
Ini kerana sehingga kini masih ada yang mempersoalkan sambutan 31 Ogos.
Pada masa yang sama wujud cadangan supaya kerajaan Sabah mengiktiraf 31 Ogos sebagai Hari Sabah bagi memperingati hari bersejarah iaitu Hari Kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963.
Ketua Wiramaja STAR Sabah, Felsie Joy selaku pengerusi penganjur Hari Sabah 2022, dalam satu kenyataan berkata sambutan Hari Sabah adalah untuk memperingati hari kemerdekaan negeri pada 31 Ogos 1963 selepas Gabenor Borneo Utara ketika itu, William Goode, mengistyharkan kebebasan Sabah daripada pemerintahan British.
“Kami mahu meningkatkan kesedaran betapa pentingnya bagi kita untuk menyedari bahawa hari kemerdekaan Sabah berbeza dengan hari kemerdekaan Malaya.
“Sabah ada identitinya sendiri dan hari kemerdekaan kita sendiri. Ini yang membuatkan kita lain daripada negeri-negeri Malaya,” katanya.

Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Penampang, Billy Joe Dominic berkata, kerajaan negeri seharusnya mengiktiraf 31 Ogos sebagai Hari Sabah seperti Sarawak.
“GPS tiada masalah untuk iktiraf Hari Sarawak, kenapa Kerajaan GRS yang diterajui oleh PPBM tidak mengiktiraf Hari Sabah?,” katanya.
Billy Joe berkata, terdapat gerakan di Sabah yang ingin mencontohi Wilayah Sarawak, dari sudut politiknya sehinggalah kepada cara pentadbiran wilayah itu.
“Sarawak meraikan Hari Sarawak setiap 22 Julai, saya fikir kumpulan yang mahu Hari Sabah diraikan mendapat inspirasi daripada Sarawak.
“Pemimpin kumpulan yang mahu Hari Sabah diiktiraf adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah. Ianya kelihatan agak ganjil kerana Hari Sabah hanya diraikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah dan parti politiknya sahaja.
“Tidak ada poster atau ucapan rasmi dari Kerajaan Wilayah Sabah berkenaan Hari Sabah. Ini bermakna Hari Sabah belum diiktiraf oleh Kerajaan GRS yang diterajui oleh PPBM.
“Saya kurang pasti sebab mereka mengadakan Hari Sabah, saya harap ianya untuk memperingati Sabah diberi hak untuk berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963.
“Tidak sempat berkerajaan sendiri terus menubuhkan Malaysia. Hanya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang boleh disandarkan oleh rakyat Sabah untuk melindungi mereka daripada terus merasa dijajah,” kata Billy Joe.
Oleh itu katanya, Perjanjian Malaysia tidak boleh diadakan perjanjian yang baru seperti yang dicadangkan oleh beberapa pemimpin Kerajaan GRS, sebelum perjanjian asal MA63 ditunaikan.

Sementara itu Wartawan dan juga penulis Anna Vivian berpendapat, kerajaan hari ini sepatutnya mengiktiraf 31 Ogos sebagai Hari Sabah.
Beliau yang dilahirkan semasa Sabah ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara di bawah Pemerintahan British berkata: “Kemerdekaan Borneo Utara (Sabah) daripada British harus disambut bagi memperingati hari bersejarah negeri ini”.
“Kerajaan hari ini harus mengiktirafnya dan mengisytiharkan 31 Ogos sebagai Hari Sabah. Saya percaya ramai rakyat Sabah akan bersetuju dengan ini, dan berbangga meraikan hari mereka sendiri,” katanya.
Janus Tion menyokong pendapat Anna Vivian dan berkata, Sabah sepatutnya menyambut 31 Ogos sebagai Hari Sabah dan Hari Malaysia pada 16 September.
“Bagi penduduk di Semenanjung, mereka boleh namakan sambutan 31 Ogos sebagai Hari Malaya atau Hari Persekutuan Tanah Melayu tetapi bagi Sabah ia seharusnya dinamakan sebagai Hari Sabah agar generasi muda tidak terus keliru dan tidak mempersoalkan sambutan 31 Ogos,” katanya.

Dalam hal ini katanya, semua pihak termasuk ibu bapa berperanan membantu memperbetulkan fakta sejarah kemerdekaan kepada anak-anak mereka.
“Masih ramai anak-anak kita yang kurang faham dengan fakta sejarah kemerdekaan kerana dari sekolah rendah sudah 'dibiasakan' dengan perkataan "Tanggal 31 Ogos 1957 adalah hari kemerdekaan Malaysia',” katanya.
Rakyat harus mengetahui fakta sejarah iaitu 31 Ogos 1957 adalah Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan bagi Sabah pula ialah 31 Ogos 1963.
Manakala 16 September 1963 adalah tarikh karamat pembentukan Persekutuan Malaysia yang sepatutnya disambut secara besar-besaran di seluruh negara.
Justeru itu, sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun perlu dijadikan asas untuk memperingati, menghayati dan memahami sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat.
Tanpa penghayatan dan pemahaman sejarah kemerdekaan yang telah membawa kepada pembentukan Malaysia, sambutan Hari Malaysia hanyalah sekadar 'hari cuti umum biasa'.
