top of page

Kerajaan Sabah kerjasama Sabah Council of Churches anjur Sambutan Krismas 2025

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

Ewon (lima dari kiri) bersama jawatankuasa Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah bergambar bersama Musa selepas kunjungan itu.
Ewon (lima dari kiri) bersama jawatankuasa Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah bergambar bersama Musa selepas kunjungan itu.

15 Disember 2025


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Majlis Gereja-Gereja Sabah (Sabah Council of Churches (SCC)) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menganjurkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 bermula esok (16 Dis) hingga 19 Disember ini, di Padang Merdeka Kota Kinabalu.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, Kerajaan Negeri telah bersetuju mengangkat sambutan Krismas anjuran SCC bersama DBKK yang telah dianjurkan sejak 19 tahun lalu sebagai Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini.


Beliau turut menjemput seluruh rakyat Sabah untuk hadir memeriahkan sambutan itu yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung termasuk pelancong sepanjang penganjurannya.


“Saya berharap sambutan Krismas peringkat negeri ini menjadi wadah memperkukuh perpaduan, keharmonian, kerjasama serta amalan saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat lberbilang kaum dan agama, selaras dengan wawasan Sabah First,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai delegasi Jawatankuasa Induk Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman di Istana Negeri, hari ini.


Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tuan Yang Terutama untuk merasmikan pembukaan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 yang dijadualkan pada 16 Disember ini.


Kunjungan itu turut disertai Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Datuk Thomas Logijin, Timbalan Setiausaha Tetap MINDET Moira David, Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr. Lifred Wong, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat DBKK Rosie Inus Molukun serta wakil-wakil gereja.


Sementara itu, Ewon memaklumkan Mesyuarat Kabinet Sabah pada 3 Disember 2025 telah melantik beliau sebagai Pengerusi Induk Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 serta Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.


Bagaimanapun, katanya, Mesyuarat Kabinet Sabah pada 10 Disember 2025 telah bersetuju dengan cadangan beliau supaya Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 ditiadakan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page