top of page

Kerajaan Sabah perlu telus dalam Perjanjian Pemuliharaan Alam Sekitar

Wartawan Nabalu News

21 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Keluarga Dusun Talantang Sabah (Sakag Talantang) berharap agar kerajaan negeri lebih telus dalam semua perkara dalam Perjanjian Pemuliharaan Alam Sekitar.


Presiden Sakag Talantang, Ramdi Indang berkata walaupun persatuan itu setuju dengan keputusan menandatangani perjanjian tersebut namun beliau berharap kerajaan negeri dapat menjelaskan sepenuhnya hal tentang pemeteraian perjanjian itu.


Tambahnya, ini penting agar rakyat Sabah lebih faham dan tidak terkejut dalam mengetahui perjanjian itu hanya melalui saluran media asing.


Katanya, laporan media asing itu menyatakan bahawa kerajaan negeri telah menyerahkan dua juta hektar hutan kepada syarikat asing danini telah mengelirukan rakyat.


“Oleh demikian, saya mendesak kerajaan agar memberikan penjelasan penuh mengenai terma dan syarat perjanjian itu agar rakyat yakin bahawa perjanjian tersebjt tidak mempunyai kaitan dengan kedaulatan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, kerajaan juga harus memaklumkan penduduk komuniti Kadazan Dusun dan Murut (KDMR) yang tinggal berhampiran kawasan yang termasuk dalam perjanjian itu tentang rancangan kerajaan dan persetujuan mereka ke atas projek itu.


Selain itu, katanya ianya juga perlu didokumentasikan untuk rujukan masa depan.


“Sudah terlalu lama, rakyat kita terpaksa menerima rancangan kerajaan seperti mewartakan hutan menjadi hutan simpan tanpa terlebih mendapatkan kebenaran dan termaklum.


"Walaupun mengakui bahawa hutan yang dikenal pasti dalam perjanjian itu sudah menjadi sebahagian daripada hutan simpan Sabah, saya percaya masih belum terlambat untuk melakukan perkara yang betul dan mendapatkan persetujuan orang asal untuk projek itu,” ujarnya.


Beliau juga berharap agar perjanjian itu dapat melindungi sumber semulajadi Sabah yang berharga dan memberi manfaat kepada negeri.


"Kita yakin bahawa tidak akan ada lagi pembalakan komersial dalam kawasan yang termasuk dalam perjanjian itu. Hasilnya, alam sekitar kita lebih selamat, dan hutan kita lebih terpelihara," katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page