top of page

Kerajaan Sabah peruntuk RM249.19 juta pacu pembangunan industri, keusahawanan

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

12 Disember 2025


KOTA KINABALU: Sebanyak RM249.19 juta diperuntukkan Kerajaan Sabah bagi merancakkan pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan negeri dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan hari ini.


Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia termasuk RM194.04 juta bagi Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (KPKP) serta agensinya untuk memacu pertumbuhan industri, meningkatkan promosi pelaburan dan menggalakkan aktiviti perdagangan.


Menurut beliau, pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga terus diberi tumpuan sebagai industri sokongan utama dan pemangkin kepada pembangunan industri pembuatan.


“Selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan melalui KPKP akan memperkenalkan Program Keusahawanan Negeri dengan peruntukan RM5 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan IKS di peringkat nasional dan antarabangsa.


“Bagi mengembangkan pasaran produk usahawan IKS, KPKP turut menerima RM16.86 juta untuk menyertai ekspo-ekspo dalam dan luar negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.


Masidi berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM18.55 juta melalui Kementerian Kewangan; Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi; serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk meneruskan pelaksanaan program pembangunan usahawan tempatan.


Ia termasuk RM15 juta bagi meneruskan Program Bantuan SME-UP bertujuan meningkatkan kapasiti dan produktiviti IKS, manakala RM1.5 juta untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Produk Desa dan Pembangunan Kemahiran Daerah di bawah KPLB.


“Selain itu, RM2.05 juta diperuntuk bagi melaksanakan program berimpak tinggi seperti Sabah Sandbox Accelerate 2026, Creative Incubator 2026 dan Pitchborneo melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi.


“Inisiatif ini akan memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi, digital dan kreativiti yang memberi impak langsung kepada ekonomi dan komuniti,” jelasnya.


Menurut beliau, di bawah RMK13, siling peruntukan yang diluluskan sebanyak RM500.1 juta adalah untuk melaksana 123 program dan projek merangkumi 34 projek sambungan dan 89 projek baharu.


Sebahagian peruntukan itu, katanya akan diagihkan kepada agensi KPKP antaranya Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd, POIC Sabah Sdn Bhd dan Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) Sdn Bhd, bagi membiayai projek-projek pembangunan.


Selain itu, sebanyak RM43.53 juta diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur dan utiliti di taman-taman perindustrian termasuk Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), POIC Lahad Datu dan SOGIP bagi menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dalam menarik pelaburan ke Sabah.


“Dalam usaha berterusan meningkatkan ekonomi di serata pelosok daerah di Sabah, SEDCO telah diberi peruntukan keseluruhan berjumlah RM16.90 juta bagi meneruskan pelaksanaan projek-projek sedia ada.


“Ia termasuk pembinaan Rumah Kedai di Kalabakan dan Tungku, pembinaan Kedai Matunggong, Kedai dan Hotel 2 Blok Bangunan Pulau Bum-Bum Semporna, serta pembinaan Kedai di Weston dan Kg Padas Damit, Beaufort,” ujarnya.


Sementara itu, selaras perubahan serta fungsi kementerian, Jabatan Keretapi Sabah (JKNS) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) kini diletakkan di bawah KPKP bagi mengukuhkan jaringan pengangkutan sebagai sokongan kepada pembangunan industri negeri.


JKNS menerima RM66.59 juta bagi melaksanakan projek pembangunan antaranya pembaikan cerun dan tebing Sungai Padas di Jajaran Beaufort–Tenom bernilai RM4 juta, menaik taraf lintasan rata awam secara berperingkat serta perolehan satu lokomotif dan dua unit Diesel Multiple Unit (DMU) baharu bernilai RM5.80 juta.


“Siling peruntukan sebanyak RM80.25 juta telah diluluskan kepada JKNS dengan 47 projek pembangunan iaitu lapan projek sambungan dan 39 projek baharu di bawah RMK13.


“Bagi JPDS pula, sebanyak RM27.64 juta diperuntukkan untuk memperkasakan infrastruktur pelabuhan sebagai pemacu ekonomi Sabah, dengan siling peruntukan sebanyak RM32.23 juta yang diluluskan di bawah RMK13 membabitkan lima projek sambungan dan 18 projek baharu,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page