KERAJAAN SABAH PIMPINAN GRS TADBIR NEGERI DENGAN HALA TUJU KOMPREHENSIF, HOLISTIK - HAJIJIKERAJAAN SABAH PIMPINAN GRS TADBIR NEGERI DENGAN HALA TUJU KOMPREHENSIF, HOLISTIK - HAJIJI
top of page
  • nabalunews

KERAJAAN SABAH PIMPINAN GRS TADBIR NEGERI DENGAN HALA TUJU KOMPREHENSIF, HOLISTIK - HAJIJI


12 JAN 2021


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan hala tuju komprehensif dan holistik bagi mengurus tadbir Sabah terutama dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata tanpa hala tuju atau matlamat jitu, kerajaan negeri tidak akan dapat berfungsi dengan baik dan berkesan, malah menurutnya, ia boleh menyebabkan kegagalan dalam pentadbiran kerana ketiadaan keutamaan yang jelas dan sasaran pembangunan tidak dititikberatkan.

“Seperti yang saya sentuh semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2021 pada 18 Dis lepas, kerajaan negeri akan merangka satu pelan pembangunan holistik bagi menjana semula pertumbuhan ekonomi negeri sesuai dengan kekuatan dan kekayaan sumber alam serta keperluan semasa.

“Inilah yang saya maksudkan dengan hala tuju strategik kerajaan negeri ke arah memastikan kemajuan dan pembangunan diteruskan meskipun negeri turut tergugat dilanda pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Libat Urus: Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata Sabah membangun dan berkembang pesat sejak lebih 50 tahun lepas dengan rakyat turut merasai nikmat pembangunan yang ada sekarang, bagaimanapun, masih banyak pembangunan perlu dilakukan demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang dicapai. Sabah adalah negeri kedua terbesar di Malaysia. Banyak lagi perlu dilakukan khususnya di kawasan luar bandar yang masih berada dalam serba kekurangan.

“Inilah sebabnya mengapa kita perlu mempunyai sasaran berimpak tinggi bagi mengubah keadaan hidup rakyat,” kata Hajiji, yang turut menggesa anggota perkhidmatan awam mengambil berat dan memandang serius akan pelan pembangunan lima tahun berkenaan.

Hajiji juga berharap semua anggota perkhidmatan awam di Sabah memberi kerjasama dan komitmen tinggi dalam menjayakan pelan pembangunan SMJ bagi membolehkan matlamat pelan itu dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan sosio-ekonomi rakyat direalisasikan. - Bernama

bottom of page