Kerajaan Sabah Salur RM210 Ribu, Dua Ambulans Sokong Misi Kemanusiaan BSMM

13 Jun 2026
KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri menyalurkan geran keseluruhan berjumlah RM210,000 serta sumbangan dua buah ambulans kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Sabah.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, geran tersebut adalah bukti komitmen kerajaan dalam menyokong usaha-usaha kebajikan dan kemanusiaan yang disalurkan melalui Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
"Daripada jumlah tersebut, RM110,000 diberikan menerusi Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) manakala RM100,000 lagi disalurkan melalui Majlis Belia Sabah bagi memperkukuhkan program pembangunan belia dan kesukarelawanan yang merupakan antara fokus utama kita dalam melahirkan generasi muda yang berjiwa sukarelawan dan prihatin.
"Bagi memperkukuh perkhidmatan kecemasan, kerajaan negeri turut menyumbangkan dua buah ambulans masing-masing kepada BSMM Daerah Tuaran dan BSMM Daerah Putatan bagi meningkatkan keupayaan tindak balas serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi bencana," katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Palang Merah Dan Bulan Sabit Merah Sedunia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 yang diadakan di sini, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh sukarelawan BSMM Sabah atas dedikasi tanpa mengira masa, serta mengucapkan tahniah kepada semua penerima pingat dan anugerah pada majlis tersebut.
"Semoga pengiktirafan yang diterima malam ini akan menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat kepada masyarakat serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Sabah, khususnya golongan muda, untuk menyertai gerakan kesukarelawanan," katanya.
Mengulas mengenai tema sambutan tahun ini, “United in Humanity” atau “Bersatu dalam Kemanusiaan”, beliau menjelaskan ia amat bertepatan dengan landskap dunia hari ini dan selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah yang mengutamakan pendekatan inklusif serta prihatin demi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus kemajuan.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman sebagai Penaung Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah dan turut menyampaikan pingat kepada lebih 20 orang sukarelawan yang menunjukkan dedikasi dan prestasi yang cemerlang.
Sepanjang tahun 2025 dan 2026, BSMM Negeri Sabah telah menggerakkan pelbagai program berimpak tinggi termasuk operasi bantuan bencana, perkhidmatan ambulans, kempen derma darah, latihan pertolongan cemas, dan pendidikan kesihatan komuniti yang memanfaatkan ribuan rakyat./Penerangan-















Comments