top of page

Kerajaan salur RM1.525 juta kepada lima institusi Maahad Tahfiz di Sabah

  • nabalunews
  • 45 minutes ago
  • 2 min read

17 Mac 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.525 juta kepada lima institusi Maahad Tahfiz di Sabah bagi menyokong pembangunan serta memperkukuh operasi institusi berkenaan.


Lima institusi menerima peruntukan itu ialah Pondok Pesantren Nurul Ihsan Sandakan, Sekolah Pondok Miftahussalam Sandakan, Pondok Al-Hasyimi Al-Qadri Kudat, Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Babussalam Matunggong, Kudat serta Pondok Fii Dzilalil Quran Kota Belud.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantuan tersebut bertujuan menaik taraf infrastruktur selain memperkenalkan elemen pendidikan digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pembelajaran.

“Jumlah pelajar maahad tahfiz di Malaysia yang mencecah kira-kira 400,000 orang mencerminkan peranan penting institusi itu dalam membentuk sahsiah dan nilai keagamaan dalam kalangan generasi muda.


“Sejak 2003, kerajaan pada ketika itu telah menghentikan bantuan kepada sekolah-sekolah rakyat. Kini, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM1.525 juta bagi membantu institusi maahad tahfiz yang terlibat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah, di sini pada Ahad.


Menurut beliau, kerajaan tidak campur tangan dalam penentuan manhaj atau kurikulum pengajian di institusi tahfiz, termasuk aspek hafazan al-Quran dan pengajian kitab tradisional.


“Apa yang diajar di maahad tahfiz, termasuk hafazan al-Quran atau kitab tradisional, adalah urusan institusi berkenaan.


“Bagaimanapun, terdapat beberapa asas pendidikan yang perlu dikuasai oleh semua pelajar, termasuk penguasaan Bahasa Melayu serta pengetahuan mengenai sejarah negara,” ujarnya.


Beliau menegaskan langkah itu penting bagi memastikan pelajar tahfiz turut memahami asas pembinaan negara serta memiliki jati diri kebangsaan yang kukuh.


Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page