Kerajaan Serbia pelawa Kerajaan Negeri Sabah hantar pelajar ke Serbia lanjutkan pelajaran
- nabalunews
- Sep 3, 2024
- 1 min read

3 September 2024
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah kini berpeluang untuk memperluaskan peluang pendidikan bagi pelajar di negeri ini ke peringkat antarabangsa, apabila Kerajaan Serbia mempelawa pelajar-pelajar dari Sabah melanjutkan pelajaran ke negara tersebut.
Tawaran ini melibatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah yang akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan Serbia.
Konsul Kehormat Republik Serbia di Malaysia, Datuk Zulkifli Amin Mamat, menyatakan bahawa tawaran ini merupakan satu peluang yang sangat baik untuk pelajar-pelajar terpilih dari Sabah, dengan semua kos pengajian ditanggung oleh Serbia.
"Kami bercadang untuk mempelawa kerajaan negeri untuk menghantar pelajar-pelajar terpilih ke Serbia yang mana kos pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Serbia," katanya.
Selain itu, Zulkifli juga menekankan keistimewaan yang dimiliki oleh Sabah, terutama dari segi destinasi pelancongan seperti pulau-pulau dan pantai yang indah.
Menurut beliau, Sabah mampu menarik minat rakyat Serbia yang ingin melancong, memandangkan Serbia tidak mempunyai pantai.
“Ketika ini kita sedang menggalakkan rakyat Serbia untuk keluar melancong dan daripada mereka pergi ke negara-negara lain apa salahnya mereka datang ke Sabah kerana Serbia tiada pantai,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Kunjungan hormat itu bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Republik Serbia.
"Kunjungan ini adalah salah satu dari siri kunjungan rasmi untuk memaklumkan tentang peluang-peluang yang boleh diterokai oleh kedua-dua pihak, khususnya dalam sektor pendidikan dan pelancongan," jelas Zulkifli.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat kurang daripada 100 rakyat Serbia yang kini berada di Malaysia, kebanyakannya adalah golongan profesional yang bertugas di Kuala Lumpur dan Sarawak.















Comments