Kerajaan terus pupuk persekitaran kondusif galak pelaburan serta inovasi- Hajiji
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

26 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memupuk persekitaran yang kondusif dan mesra perniagaan bagi menggalakkan pelaburan serta inovasi.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited untuk memperkemas prosedur, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta memastikan dasar kerajaan kekal telus, adil dan menyokong keyakinan pelabur.
“Pada masa yang sama, penyediaan perumahan kepada rakyat terus menjadi keutamaan.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan sektor swasta bagi memastikan rumah mampu milik dan berkualiti dapat diakses oleh setiap rakyat Sabah, khususnya dalam kumpulan B40 dan M40,” katanya," katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Shareda ke-47 di Magellan Sutera Resort, malam Sabtu.
Ucapan beliau dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji menyeru Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) serta sektor swasta untuk membantu membentuk pembangunan Bandar Pintar di negeri ini.
“Melihat ke hadapan, pembangunan Bandar Pintar akan menjadi fokus utama bagi Sabah. Dengan dua Bandar Pintar yang dirancang di Penampang dan Kota Kinabalu, kita sedang melangkah ke era baharu inovasi bandar.
“Saya menggalakkan SHAREDA dan sektor swasta untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk bandar pintar ini dengan mengintegrasikan teknologi, kelestarian dan keperluan komuniti bagi mewujudkan ruang kehidupan yang lebih pintar dan selesa untuk masa depan,”
Hajiji turut berasa gembira dengan tumpuan SHAREDA terhadap pembangunan lestari dan hijau yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Pendekatan berpandangan jauh ini memastikan pertumbuhan yang kita usahakan hari ini tidak akan menjejaskan.
'
Beliau turut memuji SHAREDA atas kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri serta peranan berterusan dalam memajukan agenda pembangunan Sabah.
“Sektor hartanah kekal sebagai salah satu pemacu utama ekonomi Sabah. Ia membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat kita.
“Dalam kita melangkah ke hadapan, pembangunan mesti kekal seimbang dan inklusif untuk memupuk peluang, di samping memastikan kelestarian serta memberikan nilai jangka panjang kepada semua rakyat Sabah,” katanya.


















Comments