top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan tumpu industri HGHV pacu sumbangan PMKS kepada KDNK



1 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, bagi meningkatkan sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, kerajaan memberi tumpuan kepada industri High Growth High Value (HGHV) melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (KSP RMKe-12).


Beliau berkata, ini kerana industri HGHV mampu memberikan sumbangan lebih besar kepada jumlah eksport negara.


“Di bawah KSP RMKe-12, sasaran sumbangan PMKS terhadap KDNK negara pada tahun 2025 telah disemak semula daripada 45 peratus kepada 41 peratus.


“Semakan semula ini dilaksanakan setelah mengambil kira impak pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negara selain konflik geopolitik di antara Rusia dan Ukraine yang menyebabkan berlakunya sekatan perdagangan, gangguan kepada rantaian bekalan dan peningkatan harga komoditi,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Roslan bertanya, kesungguhan Kerajaan untuk meningkatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi memandangkan sasaran sumbangan PMKS kepada KDNK untuk tahun 2025 telah berkurangan kepada 41 peratus di dalam KSP, RMKe-12 daripada 45 peratus dalam RMKe-12 yang asal.


Ewon berkata, pertumbuhan KDNK PMKS pada tahun 2022 telah mencatatkan peningkatan dua digit iaitu 11.6 peratus berbanding 1.3 peratus pada 2021 dan juga pada 2019 iaitu sebanyak 5.9 peratus.


Katanya, sumbangan PMKS kepada KDNK negara juga telah meningkat melebihi sumbangan pra-pandemik COVID-19 dengan nilai sumbangan sebanyak RM580.4 bilion pada tahun 2022 berbanding RM553.4 bilion pada tahun 2019.


“Ini bermakna nilai sumbangan PMKS kepada KDNK semakin meningkat walaupun peratus sumbangan KDNK yang disasarkan pada tahun 2025 telah disemak semula,” katanya.


Selain itu katanya, pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) berupaya meningkatkan daya saing dan penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri pembuatan berpertumbuhan tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.


Beliau berkata, bagi menyokong menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, kementerian melaksanakan pelbagai program, antaranya Program Pembangunan Vendor (PPV), Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) dan Program PKSlestari.


“PPV yang dilaksanakan oleh KUSKOP dengan MITI bertujuan untuk membangunkan keupayaan syarikat dalam sector-sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, rel, bioteknologi dan peranti perubatan.


“Manakala PRESTIGE pula bertujuan membangun dan mengintegrasi PMKS berpotensi ke dalam rantaian bekalan industri berpertumbuhan tinggi dan Program PKSlestari yang dilaksanakan oleh SME Corp. bagi meningkatkan amalan ESG dan penggunaan teknologi hijau yang masih pada peringkat asas dan permulaan," katanya.

Comments


bottom of page