top of page
  • Farah Salim

Kerangka Perjanjian Malaysia 1963 antara intipati utama perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan




16 Disember 2022

Oleh Farah Salim


PUTRAJAYA: Intipati utama perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan yang dimeterai semua gabungan parti politik utama di negara ini dan beberapa parti lain pada hari ini antaranya kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Berdasarkan dokumen perjanjian itu yang dikongksikan kepada media, semangat kerjasama, kesetiaan kepada persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijunjung dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC dan Suratcara Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan-Perlembagaan Sarawak dan Sabah.


Dalam laporan Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata, kerajaan perpaduan adalah kerajaan yang mewakili semua kepentingan politik dalam negara dan memperakui isu yang termeterai dalam Perlembagaan Negara serta Perjanjian Malaysia 1963.


Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata hal membabitkan kewangan di Sabah serta Sarawak sedang dirangka oleh Kementerian Kewangan dan akan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk dipengerusikannya.


“Mana yang boleh dilaksanakan, saya beri tempoh satu bulan. Hal menyangkut kewangan umpamanya juga jadi isu besar di Sabah dan Sarawak, soal kuasa untuk luluskan projek dan juga pengiktirafan kepada tenaga jentera di Sabah dan Sarawak.


“Itu dah disiapkan Kementerian Kewangan dan akan menyerahkannya kepada Fadillah untuk mempengerusikan. (Ia) akan diangkat semula kepada saya untuk dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya.


Perdana Menteri juga berkata hal terkait dengan pindaan peraturan atau undang-undang akan mengambil lebih masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan sidang parlimen.


“Yang lain, kita tekankan soal tata kelola kerana isu ini besar dalam negara kita untuk kita kembali ke dasar membersihkan jentera kerajaan dan elak apa-apa keterlanjuran yang pernah berlaku dulu.


“Pusat perhatian kita ialah penjanaan pertumbuhan ekonomi yang harus jadi perhatian kita bukan sahaja di Semenanjung tapi bersama Sabah dan Sarawak,” katanya.


Intipati lain dalam dokumen perjanjian itu ialah mengamalkan ekonomi yang adil dan dinamik berteraskan prinsip-prinsip pembangunan lestari, yang mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil, dan bebas daripada sebarangbentuk penyelewengan.


Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan pembelaan ekonomi yang adil berasaskan keperluan kepada setiap rakyat yang miskin dan terbiar tanpa mengira latar belakang, kaum dan wilayah.


“Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam yang bermutu sebagai tanggungjawab sosial pemerintah, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.


“Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upah yang adil dan setara dengan kelayakan dan pengalaman pekerja, keselamatan di tempat kerja dan mutu kehidupan yang baik untuk setiap rakyat.


“Meningkatkan mutu hidup Orang Asal, di samping menjaga warisan adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai dan melindungi hak mereka ke atas Tanah Adat,” menurut dokumen perjanjian itu.


Parti-Parti mengisytiharkan komitmen mereka dan matlamat Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara.


“Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, di samping menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain.


Setiap parti hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Comments


bottom of page