Kerap Tukar Kerajaan Sebab Utama Kemunduran Sabah
- nabalunews
- Aug 6
- 2 min read

6 Ogos 2025
KINABATANGAN: Pertukaran kerajaan yang kerap merupakan penyumbang utama kepada kemunduran sekaligus membantutkan program pembangunan yang telah dan sedang dirancang di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, apabila kerajaan bertukar tangan sudah tentu wujud setidakstabilan politik dalam negeri yang membawa kepada kegagalan dan kelewatan terhadap usaha yang akan dilaksanakan.
Katanya, sudah tiba masanya rakyat Sabah mencontohi sikap rakyat Sarawak supaya negeri ini maju bersama mereka.
"Rakyat Sabah sering kali membandingkan kemajuan Sarawak dan Sabah. Jika kita mau maju seperti Sarawak kita ikut cara pemikiran orang Sarawak mengutamakan kestabilan politik.
"Bayangkan perancangan yang disusun selama lima tahun, tiba-tiba kerajaan negeri bertukar, Ketua Menteri, bertukar pengarah serta pegawai kerajaan turut ditukar, sudah pasti pembangunan dirancang menemui kegagalan,” katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama sempana Majlis Amanat ADUN Kuamut 2025 di Dataran Terbuka Tongod, kelmarin.
Menurutnya, jika wujud kerajaan baharu, sudah tentu akan wujud polisi baharu, belum sempat meneruskan kemajuan, kerajaan bertukar lagi dan akhirnya rakyat Sabah terus mundur dan jauh ketinggalan.
Masiung berkata, suatu ketika dahulu, Sabah lebih maju berbanding Sarawak, tetapi rakyat Sarawak mengutamakan kestabilan politik tanpa menukar kerajaan setiap kali pilihanraya.
Katanya, Sabah merekodkan 16 Ketua Menteri sejak tempoh 60 tahun ekoran kerajaan silih berganti, berbanding Sarawak cuma enam orang.
“Pertukaran Ketua Menteri di Sarawak hanya berlaku selepas habis tempoh atau meninggal dunia tetapi kerajaan kekal diperintah satu gabungan parti politik.
“Sebagai contoh Projek Lebuhraya Pan Borneo, Kerajaan Pusat memberikan peruntukan serentak kepada Sabah dan Sarawak namun negeri jiran sudah siap sepenuhnya.
“Manakala Sabah masih jauh ketinggalan sebabnya projek itu telah melalui tiga kerajaan yang berlainan polisi.
“Sikap rakyat Sabah menukar kerajaan tidak akan merugikan pemimpin dan Wakil Rakyat kerana mereka dibayar gaji.
“Tetapi, rakyat Sabah yang sibuk mengkritik dan mudah terpengaruah dengan laporan media sosial yang tidak berdaftar akan menanggung kerugian yang besar,” katanya.


















Comments