top of page
nabalunews

Kerja pembinaan baiki jalanraya sempit dan berselekoh tajam di Kampung Lobong-Lobong, akan dilaksanakan segera

2 Oktober 2024


KOTA BELUD: Kerja-kerja pembinaan jalan raya bagi memperbaiki selekoh tajam dan laluan sempit di Kampung Lobong-Lobong penting untuk dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk dan melancarkan pergerakan di kawasan tersebut.


Sehubungan dengan itu, mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Lobong-Lobong, Kadamaian, Kota Belud telah diadakan di Dewan Serbaguna kampung tersebut bagi membincangkan mengenai perkara itu.


Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lobong-Lobong, Saudin Solinu

menetapkan 8 Oktober sebagai tarikh cadangan gotong-royong bagi membantu mempercepatkan proses pembinaan jalan tersebut, namun tarikh muktamad akan dimaklumkan kemudian.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM10,000 bagi pelaksanaan projek ini.


Peruntukan ini diumumkan pada 2 September lalu ketika majlis pecah tanah jambatan konkrit di Kampung Kaung Ulu.


Bantuan kewangan ini diharapkan dapat mempercepatkan proses pembinaan infrastruktur asas di kampung tersebut, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.


Peruntukan ini juga menandakan komitmen Ewon dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur di Kadamaian, terutamanya di kawasan kampung yang memerlukan perhatian khusus.

Comments


bottom of page