Kerja Penyelenggaraan RM90,000, SPRM Tahan Bekas Penolong Akauntan
- nabalunews
- 3 days ago
- 1 min read

7 Mac 2026
KOTA KINABALU: Seorang bekas penolong akauntan sebuah agensi kerajaan ditahan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Ia melibatkan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan di jabatan tempatnya bekerja yang dianggarkan bernilai kira-kira RM90,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira jam 1 petang dalam satu operasi yang dijalankan SPRM di sekitar Kota Kinabalu, Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2025 dengan mengemukakan dokumen pesanan kerajaan, invois dan sebut harga syarikat yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembekalan dan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan jabatan tempatnya bekerja.
“Suspek juga disyaki telah membuat lantikan terus kepada syarikat milik ahli keluarganya bagi mendapatkan suapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009.















Comments